KUALA LUMPUR, 29 November — Human Resource Development Corporation (HRD
Corp) melancarkan National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2022
di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
persidangan tersebut dilancarkan oleh Datuk Seri Jamil Salleh, Pengerusi HRD Corp.
Acara yang sebelum ini dikenali sebagai HRDF Conference & Exhibition, kembali
semula selepas ‘berehat’ selama dua tahun dengan nama baharu, sejajar dengan
peranan dan keutamaan HRD Corp yang telah diperluas.
Lebih 2,300 delegasi akan menghadiri enam trek sesi perbincangan yang
dikendalikan oleh 30 penceramah tempatan dan antarabangsa yang terkemuka
antaranya Aireen Omar, Presiden Capital A (Ventures), yang dahulunya dikenali
sebagai Kumpulan AirAsia; Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos
Malaysia; Rachele Focardi, Pengasas XYZ@Work, Singapura dan Neeti Mahajan,
Ketua Pegawai Pentadbiran Kumpulan Global di HSBC.
Acara itu juga akan menampilkan lebih 200 pempamer daripada pelbagai industri
dan dijangka akan menarik sehingga 5,000 pengunjung.
Bertemakan HR 5.0: The Next Evolution in Human Resource Development (Evolusi
dalam Pembangunan Sumber Manusia), NHCEE 2022 menyasarkan untuk
memperkasakan pemimpin dan pengamal Sumber Manusia untuk mengambil
pendekatan baharu terhadap peranan masing-masing yang memerlukan mereka
menerima teknologi dan proses baharu, membina kemahiran dan kecekapan
kritikal, serta memastikan kesihatan dan kesejahteraan pekerja.
Sebagai penjaga utama usaha pembangunan bakat Malaysia, HRD Corp komited
untuk mempelopori agenda HR 5.0 demi mengukuhkan modal insan Malaysia dan
mempercepatkan pertumbuhan serta produktiviti negara.
Semasa majlis pelancaran itu, HRD Corp turut mengadakan pertukaran Perjanjian
Persefahaman (MoU) bersama LinkedIn.
Kerjasama ini bertujuan untuk mempercepatkan langkah Malaysia ke arah ekonomi
berasaskan kemahiran dengan membantu pekerja mereka meningkatkan
kemahiran dan melatih semula dalam talian. Kursus LinkedIn Learning akan
disediakan di platform e-LATiH HRD Corp pada kadar yang lebih rendah untuk
majikan berdaftar HRD Corp.
LinkedIn juga akan bekerjasama dengan HRD Corp untuk menggalakkan
penggunaan levi yang lebih besar dalam kalangan majikan berdaftarnya dengan
menyediakan data dan pandangan dalam satu siri bengkel kemahiran yang
dianjurkan bersama di seluruh negara. Melalui bengkel ini, majikan akan mendapat
pencerahan tentang masa depan pekerjaan, trend penempatan pekerjaan dan
keperluan kemahiran semasa mengikut industri.
Selain itu, LinkedIn juga akan menawarkan pandangan berkala tentang
pengambilan pekerja dan trend pekerjaan di Malaysia, termasuk analisis jurang
kemahiran kepada HRD Corp. Ini akan menyokong pihak HRD Corp dalam
membentuk program pembangunan bakatnya.
Petikan Sokongan
“HRD Corp komited dalam menyokong pertumbuhan dan pemulihan ekonomi
Malaysia dengan mengurangkan pengangguran di samping mengukuhkan
kumpulan bakat kami. Ini terbukti dengan penurunan kadar pengangguran yang
kini berada pada 3.7%. Kami akan terus menerajui pembangunan modal insan
dengan mempertingkatkan peluang peningkatan kemahiran dan kemahiran
semula dalam talian menerusi kerjasama bersama LinkedIn, sebuah platform
rangkaian dan pembelajaran professional global. Saya percaya dengan usaha
sedemikian kita akan berjaya memenuhi jangkaan tenaga kerja generasi akan datang sekali gus memperkukuhkan ekonomi kita pada masa hadapan sekiranya
terjadi krisis yang tidak terjangka.”
– Datuk Seri Jamil Salleh, Pengerusi HRD Corp.
“Kami berbangga kerana dapat mengembalikan persidangan dan pameran
utama tahunan kami kepada pemain industri di rantau ini. Kali ini dengan tumpuan
yang lebih untuk memperkukuh modal insan Malaysia dengan menerima HR 5.0,
yang berasaskan wawasan, teknologi dan peluang pembelajaran sepanjang
hayat. Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan pemain industri terkemuka
seperti LinkedIn untuk mengembangkan peluang pembelajaran dalam talian buat
bakat Malaysia untuk jangka panjang.”
– Datuk Shahul Dawood, Ketua Eksekutif HRD Corp
“Dalam era perubahan yang pesat ini, adalah kritikal bagi syarikat untuk
menyediakan dan meningkatkan peluang pembelajaran dan pembangunan
kepada tenaga kerja mereka untuk mengukuhkan perniagaan mereka pada masa
hadapan. Di peringkat global, kita sedang menuju ke arah ekonomi berasaskan
kemahiran dan ini akan menonjolkan kepelbagaian kemahiran yang diperlukan
untuk masa depan pekerjaan. Di Malaysia, penyelidikan LinkedIn menunjukkan
bahawa kemahiran yang terbaik untuk pekerjaan tertentu telah menunjukkan
perubahan secara purata sebanyak 27 peratus sejak 2015, kadar perubahan
tersebut semakin pantas ketika dunia dilanda pandemic. Pada kadar ini, kemahiran
boleh berubah sehingga 50 peratus (43 peratus – 47 peratus) menjelang 2025.
Antara 2021 dan 2025, kita mungkin akan menyaksikan kewujudan tiga kemahiran
baharu dalam sesuatu pekerjaan.
“Kami komited untuk bersama HRD Corp dan menyokong negara dan
perniagaannya untuk menangani sebarang jurang kemahiran dan cabaran tenaga
kerja, supaya mereka boleh membangun, menarik dan mengekalkan bakat terbaik.
Komitmen kami adalah untuk memperkasakan setiap perniagaan dan bakat
Malaysia menerusi medium serta keupayaan yang sesuai di samping menjadi rakan
kongsi yang bernilai dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berdaya tahan.”
– Rohit Kalsy, Ketua Pasaran Baru Muncul (Emerging Market), Asia Tenggara dan
Pengurus LinkedIn Malaysia