Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (PSMB) telah diperbadankan melalui penguatkuasaan Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 pada 17 April 2001. Sebelum itu, ia dikenali sebagai Majlis Pembangunan Sumber Manusia (Human Resources Development Council – HRDC) yang ditubuhkan pada tahun 1993.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), PSMB bertanggungjawab mengutip levi daripada industri-industri utama serta menyalurkan geran latihan kepada majikan berdaftar menerusi mekanisme dalaman yang dikenali sebagai Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).
Pada April 2021, HRDF dijenamakan semula sebagai Human Resource Development Corporation (HRD Corp). Penjenamaan semula ini mencerminkan peranan, hala tuju dan misi baharunya, termasuk memperluaskan usaha pembangunan tenaga kerja, peningkatan dan latihan semula kemahiran kepada semua majikan dan individu di Malaysia, serta menyediakan peluang penjanaan pendapatan kepada komuniti yang memerlukan. Transformasi ini selaras dengan aspirasi HRD Corp untuk memacu pembangunan bakat Malaysia secara mampan dan berterusan.
VISI
Setiap Rakyat Malaysia Terlatih dan Boleh Bekerja.
MISI
Memperbaiki kehidupan melalui pembelajaran sepanjang hayat dan pemerolehan kemahiran kerja di masa depan.