BERITA & ARTIKEL

KENYATAAN PENGERUSI

Sebagai pengenalan, saya Abu Huraira Abu Yazid, Pengerusi HRD Corp, yang dilantik pada 22 Januari tahun ini.

Saya mengambil peluang ini untuk berhubung dengan anda dan kesemua pihak berkepentingan HRD Corp berkenaan dua laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.

Seluruh Lembaga Pengarah HRD Corp sangat memandang serius berkenaan hal ini dan ia menjadi keutamaan tertinggi kami pada ketika ini. Perkara ini adalah selaras dengan kedudukan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), yang dengan segera telah mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan dua laporan yang dikeluarkan oleh PAC dan JAN.

Bagi pihak kami, Lembaga Pengarah HRD Corp akan memberi sepenuh komitmen bagi memastikan Pengurusan HRD Corp memberi kerjasama penuh dan tepat waktu sepanjang SPRM menjalankan siasatan mereka.

Dalam pada kita menanti hasil penemuan akhir dan arahan SPRM, adalah penting untuk Lembaga Pengarah memberi keyakinan kepada rakyat, terutamanya syarikat-syarikat yang membayar levi kepada HRD Corp bahawa pembayaran levi adalah dilindungi dan terpelihara, sebagaimana tanggungjawab HRD Corp selaku Pemegang Amanah Kumpulan Wang.

Lembaga Pengarah menekankan perkara ini untuk memastikan syarikat-syarikat yang membayar levi boleh terus membuat tuntutan untuk keperluan latihan majikan daripada HRD Corp seperti amalan sedia ada.

Selain itu, perlu diberi perhatian kepada petikan komen-komen daripada juruaudit luar menerusi laporan kewangan HRD Corp yang berakhir pada tahun 2023. Pasukan juruaudit luar telah melaporkan bahawa “penyata kewangan didapati benar dan memberi nilai yang memuaskan sebagai posisi kewangan syarikat setakat 31 Disember 2023, malah prestasi kewangan dan aliran tunai untuk kewangan yang berakhir juga mematuhi Penyata Laporan Kewangan Malaysia (MFRS), Standard Perakaunan IFRS dan keperluan Akta Syarikat 2016 di Malaysia.”

(Komen di atas terkandung di muka surat 148 dalam Laporan Tahunan HRD Corp, yang boleh diakses di laman sesawang kami, hrdcorp.gov.my).

Sebagai penambahan, Jabatan Audit Negara melalui laporannya menyatakan bahawa “keseluruhan kewangan HRD Corp adalah stabil.”

Lembaga Pengarah yakin bahawa selagi syarikat-syarikat membuat pembayaran levi (wajib) mereka, syarikat-syarikat tersebut akan terus mendapat manfaat daripada inisiatif-inisiatif berterusan yang diperkenalkan selain program-program latihan yang ditawarkan oleh HRD Corp.

Bagi pihak seluruh Lembaga Pengarah, saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas kerjasama, kesabaran dan toleransi anda.

Semoga organisasi anda akan terus maju di masa yang akan datang.

Salam takzim,

Abu Huraira Abu Yazid
Pengerusi
HRD Corp

RESOURCES

RESOURCES