BERITA & ARTIKEL

MENTERI BESAR JOHOR MELANCARKAN NATIONAL TRAINING WEEK (NTW) 2024

Beliau merasmikan minggu latihan yang menawarkan lebih daripada 60,000 kursus percuma kepada 200,000 rakyat Malaysia.

JOHOR BAHRU, 24 June 2024 – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) hari ini mengadakan majlis pelancaran National Training Week (NTW) 2024 di Kolej Universiti Selatan, Skudai, Johor. Majlis ini dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, bersama Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Yang Berbahagia Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud.

NTW telah diperkenalkan pada tahun lepas sebagai minggu pertama yang memfokuskan kepada latihan di seluruh negara. Diterajui oleh HRD Corp, di bawah naungan KESUMA, ia merupakan minggu yang dipenuhi acara dan aktiviti latihan yang mengumpulkan organisasi serta individu dari pelbagai industri dan latar belakang untuk peluang pembelajaran dan pembangunan percuma.

NTW 2024, yang akan berlangsung dari 24 hingga 30 Jun 2024, adalah kesinambungan daripada kejayaan besar NTW 2023 yang diadakan pada Mei tahun tahun lalu. Mengekalkan intipatinya untuk mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai budaya dalam kalangan semua rakyat Malaysia, inisiatif sepanjang minggu ini menawarkan kursus latihan berimpak tinggi kepada rakyat Malaysia melalui usaha sama antara agensi kerajaan, sektor korporat, penyedia latihan, jurulatih, pengamal akademik dan individu.

Dato’ Onn Hafiz Ghazi ketika berucap berkata, dalam usaha untuk menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pelbagai bengkel telah diadakan untuk memastikan kelancaran pergerakan, kemudahan menjalankan perniagaan, di samping memastikan bakat dalam negara dan juga negeri mencukupi.

“Oleh itu, bagi memastikan semua agensi dapat berkolaborasi dengan baik, kami mencadangkan penubuhan “Johor Talent Development Council” yang dianggotai oleh agensi-agensi di peringkat persekutuan dan negeri. Kami juga mencadangkan agar KESUMA menjadi sekretariat untuk jawatankuasa tersebut kerana ini bukan hanya agenda negeri tetapi agenda nasional. Selain daripada Kuala Lumpur, kami mahu Johor menjadi kuasa ekonomi terpenting di negara ini. Kami ingin meletakkan Johor sebagai ‘the next Shenzhen’ di Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Sri Khairul Dzaimee dalam ucapannya berkata, pemilihan negeri Johor sebagai tempat untuk melancarkan program peringkat Persekutuan seperti NTW adalah kerana kepesatan pembangunan ekonomi serta keunikan negeri ini.

Perpaduan bangsa Johor khususnya, tidak dimiliki di negeri-negeri lain. KESUMA sentiasa bersedia untuk menjadi rakan strategik kerajaan negeri Johor dalam membangunkan bakat tempatan

NTW 2024 bertujuan untuk melangkah lebih jauh dalam memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia agar mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat dalam perkembangan peribadi dan profesional mereka. Ini disasarkan dengan menawarkan lebih daripada 60,000 kursus percuma di seluruh negara, yang dijalankan melalui pelbagai saluran kepada lebih 200,000 rakyat Malaysia. Program latihan ini dijangka mencatat lebih 700,000 jam latihan dan memberikan nilai latihan sebanyak RM200 juta.

HRD Corp serta rakan usahasamanya menawarkan 686 program latihan percuma di Wilayah Selatan yang merangkumi 402 program di Johor, 146 program di Negeri Sembilan dan 138 program di Melaka. Setakat ini, sebanyak lebih 23,000 penyertaan telah direkodkan di Wilayah Selatan, yang mana sebahagian besar daripadanya adalah dari Johor. Acara NTW di Johor juga akan menampilkan Pameran Kerjaya MYFUTUREJOBS oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang akan menawarkan lebih 700 pekerjaan daripada organisasi terkemuka kepada pencari kerja di negeri ini.

Majlis tersebut dihadiri lebih 1,500 tetamu kehormat, antaranya Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor, Yang Berhormat Tuan Lee Thing Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Pengerusi HRD Corp, Datuk Abu Huraira bin Abu Yazid, Ketua Eksekutifnya Datuk Wira Shahul Dawood, Profesor Ir. Ts. Dr. Chuah Joon Huang, Presiden Kolej Universiti Selatan, serta wakil daripada pelbagai agensi kerajaan, majikan, penyedia latihan, badan negeri, institusi pendidikan, NGO, dan orang awam.

Selain Majlis Perasmian, acara tersebut turut menampilkan aktiviti pendidikan menarik yang dijadualkan sepanjang hari. Ini termasuk Crane Electronics oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Jabatan Pengurusan & Krisis Pelabuhan Tg. Pelepas (PTP), Asas Industri Halal (Kesedaran Halal) oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Latihan Juruterbang Dron, Bengkel Detailing Automotif dan Kelas Bahasa Isyarat.

Dipadatkan dengan lebih daripada 500 aktiviti pembelajaran dan pembangunan di seluruh negara, NTW 2024 juga akan menampilkan acara serta program berkaitan latihan melalui Acara Pembelajaran NTW di Pulau Pinang yang merangkumi Wilayah Utara pada 25 Jun, Acara Pembelajaran NTW di Kuala Terengganu yang merangkumi Wilayah Pantai Timur pada 26 Jun, Acara Pembelajaran NTW di Kuching yang merangkumi seluruh Sarawak pada 27 Jun dan Acara Pembelajaran NTW di Kota Kinabalu yang merangkumi seluruh Sabah pada 28 Jun.

NTW 2024 akan berakhir dengan karnival latihan dua hari di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 29 dan 30 Jun 2024. Acara pembelajaran selama dua hari ini akan menampilkan aktiviti menarik seperti Pancasains oleh Petrosains, Pengalaman EV oleh Proton, Klinik Sukan, Pertandingan Lego, pameran buku oleh Bookxcess dan Pameran Kerjaya MYFUTUREJOBS.

Untuk maklumat lanjut mengenai NTW 2024 dan untuk mendaftar bagi program latihan percuma sepanjang minggu ini, sila layari www.nationaltrainingweek.gov.my.

RESOURCES

RESOURCES