BERITA & ARTIKEL

MENTERI SUMBER MANUSIA MENEKANKAN PENYELESAIAN KEPADA CABARAN PENGHIJRAHAN MODAL INSAN DI SABAH PADA HARI TERBUKA HRD CORP

Kota Kinabalu, 16 Jun 2022 — Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan melancarkan sebuah Forum Nasional bertajuk ‘Migrasi Modal Insan dan Kesannya Terhadap Sabah’ pada Hari Terbuka dianjurkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp), di sini, hari ini.  

Pada forum berkenaan, beliau menekankan punca serta kesan penghijrahan penduduk tempatan keluar dari Sabah dan perkara yang boleh dilakukan oleh Kementerian, HRD Corp, organisasi sektor swasta dan insititusi akademik untuk menangani isu tersebut.

Ketika berucap, Datuk Seri M. Saravanan berkata, Malaysia telah mencatatkan peningkatan yang stabil dalam populasi bandarnya sejak 50 tahun yang lalu, daripada 26.8 peratus pada 1970 kepada 76.8 peratus pada 2020.

“Pada tahun 2020, kira-kira 45,900 orang dari Sabah berhijrah keluar dari negeri ini untuk mengejar peluang ekonomi yang lebih baik di tempat lain. Kadar migrasi keluar yang berkembang pesat dalam kalangan bakat Sabah boleh menyukarkan perlaksanaan sebarang inisiatif untuk menyediakan peluang pekerjaan baharu serta membantutkan pertumbuhan ekonomi bagi negeri ini,” katanya.

Tambahnya, terdapat keperluan mendesak untuk mencapai keseimbangan antara menggalakkan penghijrahan bakat berkebolehan ke negeri ini, di samping mewujudkan peluang baharu serta insentif untuk tenaga kerja dan profesional tempatan untuk terus kekal di negeri kelahiran mereka ini.

“Kementerian komited untuk bekerjasama dengan semua pihak di Sabah bagi membangun serta melaksanakan polisi yang mampu menarik pelaburan bernilai tinggi seterusnya mewujudkan peluang baharu untuk bakat dan juga golongan profesional yang berkemahiran di negeri ini. Pada masa yang sama, Kementerian akan terus memperkenalkan inisiatif-inisiatif yang akan dapat membantu rakyat Sabah untuk meningkat, melatih semula, menyilang serta mempelbagaikan kemahiran mereka menerusi agensi seperti HRD Corp. Ini akan dilengkapkan lagi dengan program-program yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan juga TalentCorp,” ujarnya lagi.

Forum Nasional tersebut dikendalikan oleh Pengarah Undang-undang & Hal Ehwal Kerajaan Microsoft Malaysia, Adilah Junid dengan menampilkan ahli panel yang terdiri daripada Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah, Benedick Bisoni; Ahli Majlis Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Lim Weng Khuan; Ketua Pegawai Eksekutif Ali Qassem International, Dr. Ali Qassem dan Pengarah Jabatan Buruh Sabah, Wan Zulkfli Wan Setapa.

Siri Forum Nasional HRD Corp ini dianjurkan sempena Hari Terbuka HRD Corp Sabah 2022, yang diadakan pada 15 hingga 16 Jun 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). Acara dua hari itu menampilkan satu siri aktiviti yang direka untuk menyalurkan maklumat terkini mengenai inisiatif dan tawaran perkhidmatan HRD Corp kepada jurulatih, penyedia latihan dan majikan berdaftarnya. Ia juga berfungsi sebagai platform untuk HRD Corp melibatkan diri dengan orang ramai bagi memenuhi keperluan latihan, pekerjaan serta penjanaan pendapatan mereka.

Di Hari Terbuka yang sama, orang ramai juga dijemput untuk menghadiri Pameran Kerjaya MYFutureJobs oleh PERKESO, di mana lebih 1,000 pekerjaan daripada 23 majikan terkemuka di Sabah dan Sarawak ditawarkan melalui beberapa siri temu duga terbuka.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.hrdcorp.gov.my/openday.

RESOURCES

RESOURCES