BERITA & ARTIKEL

LEBIH 8,000 RAKYAT MALAYSIA DARI KOMUNITI INDIA TELAH DILATIH, HRD CORP TERUSKAN KOMITMEN MELALUI VETRI MADANI

KUALA LUMPUR, 25 April 2026 – Human Resource Development Corporation (HRD Corp), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), hari ini melancarkan Vetri MADANI, sebuah inisiatif pembangunan kemahiran yang bertujuan untuk memperluas akses kepada latihan berstruktur serta peluang pekerjaan bagi komuniti India Malaysia.

Seiring dengan komitmen berterusan Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memperkasa komuniti India Malaysia, Vetri MADANI merupakan langkah seterusnya dalam memperkukuh pembangunan modal insan yang lebih inklusif dan berfokuskan komuniti, selaras dengan keutamaan nasional yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, bersempena Karnival Vetri MADANI di Dewan Kandiah, Brickfields, di sini, yang menghimpunkan komuniti setempat, penyedia latihan serta rakan industri dalam satu platform bersepadu yang memfokuskan kepada kemahiran, peluang dan laluan Kerjaya.

Vetri MADANI dirangka sebagai program latihan yang menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran, mobiliti kerjaya serta kesiapsiagaan tenaga kerja, bagi memastikan peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan, malah berupaya beralih kepada pekerjaan yang bermakna serta kerjaya yang mampan.

Program ini menyasarkan dua kumpulan utama, iaitu tenaga kerja sedia ada yang ingin meningkatkan kemahiran dan individu yang sedang menganggur atau mencari peluang pekerjaan, bagi memastikan pendekatan pembangunan tenaga kerja yang lebih seimbang dan menyeluruh.

Dengan peruntukan sebanyak RM10 juta, Vetri MADANI dijangka akan memanfaatkan 2,000 peserta di seluruh negara, dengan menawarkan pensijilan yang diiktiraf industri serta laluan kerjaya berstruktur bagi meningkatkan kebolehpasaran dan membuka peluang mobiliti pendapatan yang lebih baik.

YB Dato’ Sri Ramanan berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memastikan pembangunan kemahiran diterjemahkan kepada peluang sebenar untuk rakyat.

“Ini bukan sekadar soal angka, tetapi tentang membuka peluang sebenar untuk mengubah kehidupan. Vetri MADANI dirangka untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya daripada komuniti India, mendapat akses kepada kemahiran yang dapat meningkatkan kebolehpasaran dan masa depan mereka,” katanya.

Vetri MADANI memberi tumpuan kepada sektor berpermintaan tinggi dan berorientasikan masa hadapan, termasuk kecerdasan buatan, keselamatan siber, teknologi data dan awan, automasi, robotik serta kejuruteraan lanjutan. Program latihan ini menawarkan peluang berharga kepada individu berumur 16 hingga 50 tahun untuk meningkatkan kemahiran, kompetensi dan nilai profesional mereka.

Latihan akan dilaksanakan oleh penyedia latihan berdaftar HRD Corp, dengan kerjasama rakan industri serta pusat pembangunan kemahiran negeri. Pendekatan pelaksanaan yang fleksibel, merangkumi latihan secara fizikal dan hibrid, akan digunakan bagi memastikan akses dan penyertaan yang lebih meluas.

Ketua Eksekutif HRD Corp, Dato’ Shamir Aziz, berkata fokus utama Vetri MADANI adalah untuk memastikan latihan yang dilaksanakan membawa kepada hasil yang boleh diukur.

“Berdasarkan kemajuan yang dicapai melalui Inisiatif Kemahiran India Malaysia (MISI atau Malaysian Indian Skills Initiative), dengan seramai 8,719 telah dilatih dari tahun 2024 hingga 2025. Vetri MADANI merupakan langkah seterusnya dalam memperkukuh sokongan kepada komuniti ini melalui pembangunan kemahiran. Di HRD Corp, fokus kami adalah untuk memastikan setiap usaha ini diterjemahkan kepada hasil yang nyata, di mana individu memperoleh kemahiran yang tepat, mendapat akses kepada peluang pekerjaan yang lebih baik serta meningkatkan taraf hidup mereka,” ujarnya.

Selain program latihan, Karnival Vetri MADANI turut berperanan sebagai platform libat urus bersama komuniti dengan kehadiran kira-kira 1,000 peserta. Pelbagai aktiviti yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pembangunan kemahiran, peluang kerjaya dan pembelajaran sepanjang hayat.

Pelancaran Vetri MADANI mencerminkan komitmen berterusan KESUMA dan HRD Corp dalam membina ekosistem bakat yang inklusif, berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan, sambil memastikan tiada komuniti yang tercicir dalam transformasi ekonomi Malaysia.

RESOURCES

RESOURCES