PETALING JAYA, 14 Mac 2026 – Human Resource Development Corporation (HRD Corp), sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), memberikan sumbangan sebanyak RM130,000 kepada masyarakat yang memerlukan bersempena program Ziarah MADANI Ihya Ramadan. Majlis disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan bagi terus menyemarakkan semangat keprihatinan dan tanggungjawab bersama bersempena bulan Ramadan.
Bertempat di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Kota Damansara, program menyantuni komuniti ini dimulakan dengan agihan 700 bekas bubur lambuk, diikuti dengan penyampaian 1,000 Bakul MADANI yang mengandungi barangan keperluan asas kepada keluarga yang memerlukan. Selain itu, sumbangan berjumlah RM20,000 turut disampaikan kepada tiga (3) rumah anak yatim dan sebuah pusat tahfiz yang merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan HRD Corp terhadap kesejahteraan rakyat.
Dalam ucapannya, YB Dato’ Sri Ramanan berkata inisiatif-inisiatif Kerajaan seperti Ziarah MADANI Ihya Ramadan mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi teras Malaysia MADANI.
“Kita lihat baru-baru ini juga banyak aktiviti yang sedang berjalan di seluruh negara. Program-program kebajikan, program-program menaik taraf ekonomi negara dari segi pekerjaan, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sedang dilaksanakan dan Akta Pekerja Gig yang baru adalah untuk menyelamatkan perlindungan sosial pekerja-pekerja gig, platform e-hailing dan sebagainya.”
Menurut Ketua Eksekutif HRD Corp, Dato’ Shamir Aziz, program seperti Ziarah MADANI Ihya Ramadan mencerminkan komitmen HRD Corp untuk memastikan pembangunan modal insan bukan sahaja memperkukuh tenaga kerja negara, malah turut memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.
“Kami percaya pembangunan kemahiran bukan sekadar soal pekerjaan, tetapi tentang membuka peluang kehidupan yang lebih baik kepada rakyat.” katanya
Aktiviti termasuk penyediaan dan agihan bubur lambuk, majlis berbuka puasa beramai-ramai bersama penduduk setempat serta sesi tazkirah sebagai pengisian program ini memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan dalam komuniti.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) KESUMA, Dr. Hj. Mohd Shaharin Umar; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, Sutekno Ahmad Belon; Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid serta ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah KESUMA, pemimpin komuniti dan wakil media.
Melalui usaha-usaha yang menggabungkan pembangunan kemahiran dan penglibatan komuniti seperti Ziarah MADANI Ihya Ramadan, HRD Corp akan terus memperkasa rakyat dalam membina peluang-peluang yang lebih baik untuk diri dan keluarga mereka.
Inisiatif sebegini mencerminkan komitmen berterusan HRD Corp dalam memastikan pembangunan modal insan bukan sahaja memberi manfaat kepada dunia pekerjaan, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan komuniti serta memperkukuh ketahanan sosial masyarakat.