BERITA & ARTIKEL

HRD CORP TUBUH PUSAT LATIHAN DAN PEMBANGUNAN KOMUNITI PERTAMA DI MALAYSIA

Tapah, 16 Oktober 2022 — Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah menubuhkan Pusat Latihan dan Pembangunan Komuniti yang pertama di Tapah, Perak. Pusat ini bertujuan untuk menyokong komuniti setempat melalui pelbagai inisiatif pembelajaran dan pembangunan sosioekonomi.

Ini termasuk program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula merentasi pelbagai bidang yang menjurus kepada meningkatkan kebolehpasaran ahli komuniti.

Di majlis yang sama, HRD Corp turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Perusahaan Kecil Sederhana Malaysia untuk membangunkan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula dalam Teknologi Perladangan Pintar untuk masyarakat Orang Asli.

Berucap pada majlis pelancaran itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, penubuhan Pusat Latihan dan Pembangunan Komuniti di Tapah ini merupakan satu lagi usaha kerajaan untuk memperkasakan masyarakat tempatan di samping meningkatkan tahap usaha pembangunan modal insan Malaysia.

“Dengan menyokong komuniti tempatan di Tapah untuk meningkatkan taraf hidup mereka melalui latihan, pekerjaan dan peluang menjana pendapatan, kita akan memastikan mereka juga boleh menjadi ahli masyarakat yang produktif yang boleh menyumbang kepada pembinaan negara,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, pusat latihan berkenaan juga akan menjadi medium bagi membantu ahli masyarakat membuat persediaan untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi, institusi Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan sebagainya.

Dikendalikan oleh 10 kakitangan HRD Corp yang terdiri daripada warga tempatan dari pelbagai suku kaum Orang Asli, pusat latihan itu juga akan menumpukan pada peningkatan taraf hidup masyarakat melalui penyelidikan dan analisis pengenalan jurang kemahiran serta keperluan. Penemuan daripada kajian itu akan digunakan untuk melancarkan program berasaskan keperluan yang berdaya maju dan mampan.

Bertempat di Pusat Perniagaan Akasia 2, Tapah, Perak, Pusat Latihan dan Pembangunan Komuniti ini akan mula beroperasi pada 1 November 2022. Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan yang ditawarkan boleh melayari https://www.hrdcorp.gov.my/.

RESOURCES

RESOURCES