BERITA & ARTIKEL

HRD CORP DAN PERSATUAN PKS MALAYSIA PERKENAL PROJEK RINTIS PERTANIAN PINTAR HIDROPONIK UNTUK ORANG ASLI

Tapah, 2 November 2022 — Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah menjalin kerjasama dengan Persatuan PKS Malaysia (Persatuan PKS) menerusi projek rintis pertanian pintar hidroponik untuk masyarakat Orang Asli di sini hari ini. Ini merupakan lanjutan daripada Perjanjian Persefahaman (MoU) yang dimeterai kedua-dua pihak bagi membangunkan program latihan serta peningkatan kemahiran untuk masyarakat setempat bulan lepas.

Projek pertama khusus untuk masyarakat Orang Asli ini memberikan mereka kemahiran dan pengetahuan dalam mengguna pakai teknik pertanian hidroponik yang inovatif di ladang mereka. Ini akan membantu mereka berdikari di samping meningkatkan keperluan makanan dalam komuniti mereka. Selain itu, projek ini juga akan memberikan mereka pengetahuan keusahawanan untuk menjadikan ia perniagaan yang berdaya maju sekali gus menyumbang kepada keseluruhan rantaian bekalan makanan tempatan.

HRD Corp turut bekerjasama dengan Tok Batin tempatan serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mengenal pasti peserta yang sesuai untuk projek tersebut. Hasilnya, projek perintis itu dilaksanakan di Kampung Orang Asli Batu 6 dan Sg. Chenderiang Tapah yang menampilkan 50 individu. Para peserta akan menerima latihan untuk menguruskan ladang hidroponik menggunakan teknik dan kaedah berbeza serta bagaimana untuk memastikan hasil tanaman yang berkualiti.

Mereka juga akan diajar bagaimana mengubah hasil tanaman tersebut menjadi perniagaan yang berdaya maju melalui pemasaran, perakaunan dan memahami rantaian bekalan pertanian. Para peserta juga akan menerima alatan yang betul, anak benih dan banyak lagi daripada Persatuan PKS untuk membantu mereka bermula. Selepas menamatkan program latihan, peserta akan menerima pensijilan bersama dari HRD Corp dan Persatuan PKS. Ini akan diiktiraf dalam industri yang berkaitan. Teknik pertanian hidroponik dan kurikulum latihan telah dibangunkan melalui input daripada petani berpengalaman dalam rangkaian Persatuan PKS. HRD Corp menyasarkan untuk meningkatkan kemahiran 100 masyarakat Orang Asli di Tapah menjelang akhir tahun ini.

Pertanian hidroponik sesuai dengan infrastruktur yang sedia ada dalam masyarakat Orang Asli di Tapah. Ia adalah kaedah pertanian yang menggantikan tanah dengan air yang kaya dengan nutrien. Nutrien ini termasuk magnesium, fosforus, kalsium serta ‘makanan tumbuhan’ lain yang diperlukan tanaman berkenaan. Ia juga mengurangkan risiko kaedah pertanian tradisional seperti cuaca yang tidak menentu, serangga perosak dan penyakit tumbuhan.

Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan projek pertanian pintar hidroponik, sila layari www.hrdcorp.gov.my

RESOURCES

RESOURCES