BERITA & ARTIKEL

HRD CORP ANJUR MALAM GALA ANUGERAH HRD 2022

KUALA LUMPUR, 17 Januari — Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menganjurkan Malam Gala Anugerah Pembangunan Sumber Manusia (Anugerah HRD) 2022 yang ke-20 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini. Majlis penyampaian Anugerah tersebut disempurnakan Yang Berhormat Tuan V. Sivakumar, Menteri Sumber Manusia.

Diperkenalkan oleh HRD Corp di bawah naungan Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2001, Anugerah HRD merupakan pengiktirafan tertinggi di peringkat kebangsaan bagi majikan, penyedia latihan dan jurulatih berdaftar HRD Corp yang telah berada di barisan hadapan dalam inovasi serta transformasi modal insan.

Sebanyak 31 Anugerah telah diberikan kepada majikan, penyedia latihan dan jurulatih. Anugerah tersebut dibahagikan kepada dua kategori; Anugerah Menteri Sumber Manusia untuk 17 majikan besar manakala Anugerah HRD Corp diberikan kepada 14 penerima yang terdiri daripada pengusaha Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), penyedia Latihan dan jurulatih.

Antara majikan yang menerima Anugerah Menteri Sumber Manusia termasuk Malaysia Airlines Berhad, CIMB Bank Berhad, Airasia Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Keretapi Tanah Melayu Berhad, Alam Flora Sdn. Bhd. dan 7-Eleven Malaysia Sdn. Bhd. Manakala antara penerima bagi Anugerah HRD Corp termasuk Owen Mumford Sdn. Bhd., Jesin Construction Sdn. Bhd., Zhulian Marketing (M) Sdn. Bhd., dan Aspac Lubricants (Malaysia) Sdn. Bhd.

Penyedia latihan turut diiktiraf pada majlis tersebut yang mana Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Iverson Associates Sdn. Bhd., dan CF Learning Services Sdn. Bhd. menggondol piala Anugerah HRD Corp.

Ketika berucap, Menteri Sumber Manusia berkata Anugerah HRD ini merupakan medium terbaik untuk menilai prestasi majikan dan pemain industri dalam memperkukuh usaha pembangunan sumber manusia mereka.

“Kejayaan mereka telah dan akan terus menjadi penanda aras untuk dicontohi oleh pihak lain,” katanya.

Proses penganugerahan ini berlangsung sejak April sehingga November 2022, bermula dengan hebahan pembukaan penyertaan, diikuti dengan penilaian, senarai pendek dan pemilihan pemenang. Pemenang dalam kategori majikan dipilih daripada 5,508 majikan yang layak dengan kadar penggunaan levi HRD sebanyak 80 peratus. Manakala pemilihan pmenang bagi kategori jurulatih dan penyedia latihan pula dibuat berdasarkan penarafan 4/5 oleh sekurang-kurangnya 1,000 pelatih melalui Penilaian Keberkesanan Jurulatih HRD Corp (TEE).

Calon yang disenarai pendek telah dinilai dengan teliti oleh panel penilai yang terdiri daripada wakil industri dari persatuan majikan serta agensi kerajaan. Ini termasuk Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM), SIRIM Berhad dan SME Corporation Malaysia. Ahli panel juga terdiri daripada kepimpinan kanan di HRD Corp.

Sementara itu, Datuk Shahul Dawood, Ketua Eksekutif HRD Corp berkata, Anugerah tersebut telah memainkan peranan penting dalam membentuk trend selain memudahkan pertumbuhan tenaga kerja dan bakat Malaysia sepanjang dua dekad yang lalu.

“Pemenang-pemenang sebelum ini telah menjadi penggerak serta Berjaya membawa perubahan terhadap landskap latihan dan pembangunan di negara ini”, ujarnya ketika memberikan ucapan alu-aluan.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Tuan Mustapha Sakmud; Timbalan Ketua Setiausha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia (KSM), Datuk Muhd Khair Razman bin Mohamed Annuar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Polisi & Antarabangsa) KSM, Tuan A. Maniam.

RESOURCES

RESOURCES

RESOURCES