BERITA & ARTIKEL

TIMBALAN PERDANA MENTERI RASMI MAJLIS KEMUNCAK NATIONAL TRAINING WEEK (NTW) 2023

Peluang latihan serentak di seluruh Malaysia capai sasaran peningkatan kemahiran dan pengetahuan rakyat

Putrajaya, 27 May 2023 – Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi telah merasmikan Majlis Kemuncak National Training Week (NTW) 2023 yang dianjurkan Kementerian Sumber Manusia (KSM), melalui agensinya, Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dalam satu majlis bertempat di Pusat Konvensyen Kebangsaan, pada hari ini. Perasmian tersebut turut disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Tuan V. Sivakumar.

Berlangsung dari 22 Mei hingga 28 Mei, NTW 2023 merupakan minggu acara latihan dan aktiviti percuma di seluruh negara yang melibatkan pelbagai individu dan organisasi. Kursus-kursus ini disasarkan untuk rakyat Malaysia dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang, bermula dari kanak-kanak pra-sekolah sehingga warga emas.

Bercakap di majlis tersebut, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, “Inisiatif seperti NTW 2023 adalah sangat penting dalam meningkatkan kesedaran dan seterusnya menggalakkan rakyat Malaysia untuk lebih proaktif dalam mengembangkan pengetahuan dan kemahiran diri. Saya juga amat berharap NTW 2023 dapat menarik minat rakyat Malaysia untuk meneroka peluang dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) terutama sekali kemahiran TVET bernilai tinggi.”

YAB Timbalan Perdana Menteri turut mencadangkan agar Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp meningkatkan jumlah program latihan berasaskan TVET dalam NTW dan menjadikannya acara tahunan.

Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp menyasarkan lebih 5,000 kursus, 125,000 peserta dan 500,000 jam latihan. Setakat Jumaat, 26 Mei, 5.00 petang, jumlah kursus yang ditawarkan sudah melebihi sasaran dengan 21,052 kursus. Manakala penyertaan kursus berada pada 103,823 dan jumlah jam latihan yang telah dilengkapkan adalah sebanyak 404,312 jam.

Menteri Sumber Manusia, Tuan V. Sivakumar yakin bahawa semua sasaran ini mampu dicapai di penghujung minggu NTW nanti. Beliau turut mengulas, “Kejayaan yang kita kecapi menerusi NTW 2023 tidak terhenti di sini. Ia patut menjadi pemangkin kepada lebih banyak program latihan dan kemahiran untuk rakyat Malaysia. NTW juga mampu menjadi pencetus inspirasi kepada pihak swasta dan pemain industri untuk memperkenalkan kaedah pembangunan kemahiran yang lebih inovatif dan kreatif.”

Di samping kursus latihan, NTW turut dilengkapi dengan pelbagai aktiviti dan program di seluruh negara. Ini termasuk majlis pelancaran NTW di peringkat negeri di Johor, Sarawak, Negeri Sembilan, Sabah, Pulau Pinang, Pahang dan Melaka.

Rakan kolaborasi NTW juga telah menjalankan lebih daripada 300 program dan aktiviti di setiap negeri, kawasan dan daerah. Program program ini disasarkan kepada setiap genap lapisan masyarakat.

Selain itu, Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp turut menganjurkan Karnival TVET Madani di Kota Kinabalu, Sabah, sempena NTW. Karnival ini disertai oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan menerima lebih daripada 3,000 pengunjung.

Rakyat Malaysia masih boleh melayari www.nationaltrainingweek.gov.my untuk mengetahui lebih lanjut dan mendaftar untuk kursus yang tersedia. Kursus-kursus ini akan dijalankan secara bersemuka, dalam talian, atau pembelajaran hibrid dan merangkumi pelbagai kemahiran insaniah dan teknikal dalam latihan, bimbingan, fasilitasi, dan pembelajaran.

RESOURCES

RESOURCES

RESOURCES