BERITA & ARTIKEL

KSM & HRD CORP UMUM DUA KEMASKINI UTAMA TINGKAT AKSES KEPADA LATIHAN DALAM TALIAN DAN FIZIKAL

MOU dengan 13 rakan pembelajaran dan pembangunan akan menambah lebih 160,000 kursus pembelajaran digital bertaraf dunia ke dalam e-LATiH, serta penambahbaikan kepada skim levi ALAT akan menyokong lebih banyak majikan untuk meningkatkan kemudahan latihan mereka.

KUALA LUMPUR, 27 Februari 2024 – Menteri Sumber Manusia Yang Berhormat Steven Sim Chee Keong dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) hari ini mengumumkan dua inisiatif utama yang bertujuan untuk memperluas serta memperkukuh akses kepada latihan dan pembangunan untuk tenaga kerja dan bakat Malaysia.

Inisiatif tersebut termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) dengan 13 rakan pembelajaran dan pembangunan tempatan dan antarabangsa untuk menambah akses kepada lebih banyak kursus melalui e-LATiH di samping penambahbaikan kepada skim levi ALAT yang membolehkan majikan meningkatkan tuntutan mereka untuk menaiktaraf kemudahan latihan.

MoU e-LATiH dengan 13 Rakan Tempatan & Antarabangsa

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Eksekutif HRD Corp, Yang Berbahagia Datuk Wira Shahul Dawood, bersama wakil daripada 13 syarikat yang terlibat; Microsoft, LinkedIn, Skillsoft, Harvard Business School Publishing, Go1, Asia e University, Udacity, FutureLearn, Alibaba Cloud, Google Cloud Partner, Accenture, Rosen, dan AirAsia Academy. Upacara itu disaksikan oleh Yang Berhormat Steven Sim, bersama dengan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Yang Berbahagia Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, dan Pengerusi HRD Corp, Yang Berbahagia Datuk Abu Huraira Abu Yazid.

Kerjasama yang pertama ini membolehkan HRD Corp menambah akses kepada 160,000 kursus baru melalui platform pembelajaran dalam talian e-LATiH. Setakat ini, platform ini menawarkan hampir 2,000 kursus percuma dan kursus premium yang melibatkan pelbagai kemahiran termasuk kepimpinan dan pengurusan, pemikiran kritis, pemasaran digital, pembuatan dan automasi, kejuruteraan, perkhidmatan kewangan dan teknologi, antara lain.

Selain itu, kerjasama ini juga membolehkan HRD Corp menawarkan kursus-kursus yang mendapat permintaan tinggi dalam bidang kritikal serta kursus pensijilan seperti kursus kepimpinan dan pengurusan yang dibangunkan oleh rakan penyedia pembelajaran seperti Google Data Analytics, Microsoft Cybersecurity Analyst, Meta Database Engineer, dan IBM Data Science. e-LATiH juga akan menawarkan kursus pensijilan teknikal yang mengkhusus dalam industri minyak dan gas yang melibatkan integriti saluran paip, operasi, pemeriksaan, dan risiko.

Selain membawa kandungan pembelajaran digital bertaraf dunia ke industri Malaysia, MoU ini juga membuka jalan untuk usaha kerjasama yang lebih luas antara HRD Corp dengan 13 syarikat yang berkenaan.

Sejak dilancarkan pada Februari 2021, e-LATiH telah menjadi salah satu platform pembelajaran dalam talian yang paling digemari di Malaysia. Hari ini, platform ini mempunyai lebih 401,000 pengguna berdaftar dan 1.22 juta pendaftaran. e-LATiH ditawarkan untuk semua rakyat Malaysia melalui pilihan percuma dan premium. Untuk mendaftar atau ketahui lebih lanjut, sila lawati elatih.hrdcorp.gov.my.

Penambahbaikan Skim Levi ALAT

Seiring dengan hasrat untuk membuka akses kepada pembangunan kemahiran, Menteri juga mengumumkan penambahbaikan kepada skim ALAT HRD Corp dengan meningkatkan bantuan kewangan yang dibenarkan kepada maksimum sehingga 50% dari baki levi pada 1 Januari dalam tahun permohonan dibuat. ALAT adalah skim yang membolehkan majikan menggunakan levi mereka untuk membiayai pembelian bantuan latihan atau menubuhkan, menaik taraf, dan menambahbaik bilik latihan. Ini bertujuan untuk menggalakkan majikan menjalankan program latihan dalaman dan pembangunan kemahiran mereka sendiri.

Sebelum ini, bantuan kewangan yang dibenarkan hanya sehingga 30%. Dengan perubahan ini, majikan juga akan dapat meletakkan peralatan atau menaik taraf bilik latihan di tempat-tempat latihan industri, sebagai contoh di Institut Latihan Perindustrian (ILP) dengan menjadikannya tempat perkongsian latihan yang boleh melatih dan memberi faedah kepada pekerja semasa dan masa depan dari majikan atau industri yang sama. Penambahbaikan termasuk butiran pelaksanaannya akan diumumkan oleh HRD Corp tidak lama lagi.

Yang Berhormat Steven Sim berkata, Kementerian komited untuk memastikan setiap rakyat Malaysia dapat mengakses pembelajaran dan pembangunan agar tidak ada sesiapa yang terpinggir.

“Kursus-kursus yang akan ditambah ke dalam e-LATiH telah dipilih dengan teliti oleh rakan-rakan dan HRD Corp untuk mengatasi kesenjangan kemahiran yang kritikal dengan memenuhi permintaan dan harapan industri terutamanya dalam bidang teknologi tinggi seperti Kecerdasan Buatan (AI), Pembelajaran Mesin, penguasaan digital, kelestarian, dan keselamatan siber.”

“Penambahbaikan kepada skim levi ALAT akan menggalakkan lebih banyak majikan berdaftar untuk menjalankan dan mengekalkan program latihan dalaman, ia juga membolehkan mereka berkongsi infrastruktur dan sumber latihan mereka sekali gus menarik lebih banyak bakat untuk keperluan perniagaan semasa dan masa depan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Sementara itu, Datuk Abu Huraira berkata, sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab terhadap tenaga kerja dan bakat Malaysia selama tiga puluh satu tahun, HRD Corp harus berada di hadapan dalam menyampaikan program yang tepat untuk menyokong semua jenis program latihan.

“Industri latihan dalam talian telah meningkat secara ketara di seluruh dunia selepas pandemik, justeru memerlukan perluasan terhadap platform e-LATiH kami dengan menawarkan lebih banyak kursus latihan dan pensijilan bernilai tinggi,” ujarnya.

Tambahnya, pada masa yang sama, program latihan fizikal akan terus popular dalam kalangan majikan dan pekerja, khususnya kepada peserta yang lebih gemar pembelajaran secara praktikal dan interaksi bersemuka. Oleh itu, penambahbaikan kepada skim ALAT menunjukkan komitmen HRD Corp untuk memenuhi permintaan dan harapan pihak berkepentingannya yang membayar levi.

RESOURCES

RESOURCES