Berita & Artikel

HRD CORP LANCAR INISIATIF MICROCREDENTIAL BERASASKAN INDUSTRI PERTAMA NEGARA UNTUK RAKYAT MALAYSIA

Putrajaya, 13 April 2022 – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah melancarkan inisiatif Microcredential HRD Corp menerusi kerjasama antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Inisiatif tersebut merupakan kelayakan mikro berasaskan industri komprehensif pertama di negara ini yang akan membantu rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang untuk mendapatkan pensijilan yang boleh dikumpul melalui pembelajaran jangka pendek. Pensijilan atau kelayakan ini akan membolehkan individu memperoleh kelayakan yang diiktiraf secara rasmi menerusi model pembelajaran yang fleksibel.

Inisiatif Microcredential HRD Corp dilancarkan bersama oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad. Inisiatif tersebut akan dilaksanakan dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Pada masa ini, inisiatif Microcredential HRD Corp merupakan penyimpan data kursus terbesar di negara ini, dengan hampir 10,000 kursus kelayakan mikro merentasi 24 bidang kemahiran. Ia menyasarkan untuk menawarkan 50,000 tempat latihan kelayakan mikro kepada rakyat Malaysia menjelang penghujung 2022. Lebih tiga juta tempat latihan kelayakan mikro akan ditawarkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ini akan dilaksanakan menerusi gabungan kursus yang ditawarkan oleh penyedia latihan, pemain industri, badan profesional dan institusi pengajian tinggi. Selain itu, semua kursus latihan yang didaftarkan di bawah HRD Corp akan ditukar menjadi kursus kelayakan mikro menjelang Jun 2022. Walau bagaimanapun, pengecualian akan diberikan kepada kursus yang layak, berdasarkan struktur kursus tersebut.

Datuk Seri M. Saravanan berkata, inisiatif Microcredential HRD Corp menyokong visi kementerian untuk membolehkan rakyat Malaysia mendapat pembelajaran sepanjang hayat, sekali gus memulakan pembangunan kemahiran profesional yang berterusan.

“Transformasi digital di seluruh dunia telah membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk meningkatkan kemahiran, di samping menggunapakai laluan dan trajektori kerjaya moden. Oleh itu, adalah penting untuk kita menawarkan fleksibiliti kepada rakyat Malaysia serta keupayaan untuk belajar dan memperoleh kelayakan formal dengan cara yang paling sesuai dengan keperluan, kemahiran dan pengalaman masing masing.”  

“Saya berbesar hati kerana Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi dapat bekerjasama dalam merealisasikan inisiatif ini, dan saya berharap rakyat Malaysia akan memanfaatkan kursus yang ada untuk mengukuhkan kemahiran dan daya saing mereka,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Bagi memastikan semua kursus kelayakan mikro di bawah inisiatif ini memenuhi piawaian industri dan mematuhi Garis Panduan Amalan Baik mengenai micro-credential oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), HRD Corp juga telah mewujudkan Rangka Kerja Microcredential HRD Corp yang akan menentukan kualiti, kredibiliti dan kesesuaian semua kursus yang dihantar untuk menjadi kursus yang boleh mengguna pakai pemindahan kredit di institusi yang mengambil bahagian. Rangka kerja ini akan diiktiraf bersama oleh MQA dan JPK supaya kursus yang ditawarkan boleh ditingkatkan kepada industri dengan lebih luas.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Noraini berkata, Kementerian Pengajian Tinggi komited untuk bekerja bersama HRD Corp dan Kementerian Sumber Manusia dalam menyediakan sokongan kepada pelajar Malaysia serta golongan tenaga kerja profesional dalam membangunkan pengetahuan dan keupayaan mereka.

“Inisiatif Microcredential HRD Corp boleh bertindak sebagai mekanisme penyambung di antara institusi pengajian tinggi dan industri di Malaysia. Ini boleh memperkasakan modal insan negara untuk menentukan haluan kerjaya mereka, menyokong institusi pendidikan tinggi untuk membangunkan graduan yang memenuhi jangkaan industri yang akhirnya dapat menangani jurang kemahiran kritikal negara, untuk jangka panjang,” ujarnya.

Sehingga kini, inisiatif Microcredential HRD Corp menawarkan kursus daripada pelbagai industri, termasuk kewangan dan perakaunan, undang-undang, pengurusan, kepimpinan, pengurusan operasi, IR 4.0 dan banyak lagi.

Untuk maklumat lanjut berhubung Microcredential HRD Corp, sila layari hrdcorp.gov.my/microcredential

RESOURCES

RESOURCES

RESOURCES