BERITA & ARTIKEL

HRD CORP DANKSM ANJUR KARNIVAL LATIH MADANI DAN PROGRAM KESUMA MADANI, PULAU PINANG

Agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia kongsi kegembiraan perayaan dengan menyediakan peluang latihan percuma dan bantuan kebajikan kepada komuniti tempatan.

BUKIT MERTAJAM, 24 Februari 2024 – Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Steven Sim Chee Keong, telah turun padang bersama-sama Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk menjayakan Karnival Latih MADANI (KLM) dan Program KESUMA MADANI di Dewan Ng Yam Huat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini.

Dihadiri lebih 1,000 penduduk sekitar Pulau Pinang, KLM bertujuan untuk melibatkan pihak berkepentingan HRD Corp, menyediakan peluang peningkatan kemahiran dan latihan semula kepada komuniti. KLM Pulau Pinang adalah yang pertama dalam siri hari berasaskan kemahiran yang dirancang agensi tersebut di seluruh negara.

HRD Corp menyahut seruan Yang Berhormat Steven Sim untuk memperluas peluang pembelajaran dan pembangunan kepada semua rakyat Malaysia, khususnya masyarakat yang memerlukan di kawasan luar bandar dan bandar di luar Lembah Klang. Untuk itu, KLM memfokuskan kepada dua keutamaan; memperkenalkan produk dan perkhidmatan HRD Corp kepada penduduk tempatan, dan meningkatkan kesedaran tentang inisiatif peningkatan kemahiran berskala kebangsaan yang akan datang seperti National Training Week (NTW) 2024 dan Program Latihan MADANI (PLM).

Pada majlis yang sama, HRD Corp dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) turut mengadakan Program Kesuma MADANI sempena sambutan Tahun Baru Cina yang menceriakan komuniti tempatan dengan sesi lou sang serta hidangan Tahun Baru Cina yang lazat. Program Kesuma MADANI merupakan program Kementerian untuk beramah mesra dengan masyarakat setempat di seluruh negara. Setakat ini, program ini telah diadakan di Johor, Sarawak, Kuala Lumpur, dan Pulau Pinang.

Dalam ucapannya, YB Steven Sim berkata, “Walaupun dunia secara am mengalami ekonomi yang perlahan, namun Malaysia telah berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 3.7% pada tahun lepas. Selain daripada itu, negera kita juga mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan yang tertinggi dalam sejarah, iaitu RM329.5 billion. Pertumbuhan ini diterjemahkan ke 127,000 peluang pekerjaan yang baru. Ini merupakan kejayaan diperoleh oleh Kerajaan Perpaduan dan juga seluruh rakyat Malaysia.”

“Pada tahun ini, Kementerian Sumber Manusia akan bertungkus lumus untuk memperkuatkan membangunkan sumber manusia di negara ini. Ini adalah komitmen kami untuk menjayakan misi strategic 3K kementerian iaitu, menjaga kebajikan, meningkat kemahiran dan menaikkan keberhasilan pekerja. Oleh itu, kerajaan telah menyediakan RM44 billion untuk membantu syarikat, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk membangunkan infrastruktur dan mendaki rantaian nilai melalui automasi, digitalisasi dan sebagainya. Selain daripada itu, Kerajaan juga telah memperuntukkan RM6.8 billion untuk meningkatkan produktiviti pekerja melalui latihan TVET. Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk membantu pekerja dan majikan kerana nasib kedua-dua pihak ini adalah berkait rapat.”

Menteri juga menegaskan bahawa perpaduan antara rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang adalah kekuatan negara ini dan beliau berharap agar semua terus bersatu-padu pada tahun ini.

Sementara itu, Pengerusi HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, Karnival Latih MADANI adalah platform yang memperkenalkan inisiatif HRD Corp kepada masyarakat.

“Melalui KLM, HRD Corp menyediakan peluang pembelajaran, program pembelajaran jangka pendek di samping menyampaikan sumbangan sosial korporat (CSR) kepada penduduk yang memerlukan. Pada masa yang sama, ia juga bertindak sebagai jambatan untuk memperkuat hubungan antara HRD Corp dan pihak berkepentingan. Kami bangga untuk memulakan ini di Pulau Pinang, dan kami berharap untuk membawa KLM ke lebih banyak komuniti di seluruh negara tidak lama lagi, “ ujarnya.

Semasa Karnival tersebut, HRD Corp juga mengadakan beberapa aktiviti menarik seperti Zumba, Pertandingan e-Sukan, pameran dari pelbagai agensi kerajaan, selain kursus latihan percuma yang merangkumi pertanian pintar, susunan bunga, bacaan braille, solekan, dan bakeri.

Yang Berhormat Steven Sim turut menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah RM15,000 kepada tiga rumah kebajikan, Pusat Jagaan Sinar Ceria, Pertubuhan Kebajikan Kasih Ayah Bonda, dan Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Permatang Tinggi. Beliau juga menyampaikan bekalan sekolah kepada 100 pelajar di kawasan Bukit Mertajam, sebagai persediaan mereka untuk sesi persekolahan yang akan bermula pada Mac depan.

RESOURCES

RESOURCES