KUALA LUMPUR, 30 September 2024 – Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Steven Sim Chee Keong, telah merasmikan National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur hari ini. Beliau diiringi oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Dato’ Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad. Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof; Pengerusi Human Resource Development Corporation (HRD Corp) Yang Berbahagia Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan Ketua Kemahiran dan Kebolehkerjaan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Srinivas Reddy.
Berlangsung dari 30 September hingga 2 Oktober 2024, NHCCE merupakan persidangan tahunan utama anjuran HRD Corp, sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang bertanggungjawab menyelia pembangunan modal insan negara melalui inisiatif peningkatan kemahiran dan latihan semula.
Sejak dijenamakan semula dari HRDF Conference & Exhibition kepada NHCCE pada tahun 2022, NHCCE telah berada di barisan hadapan dalam memperkenal serta membawa wacana terkini dalam pembangunan modal insan. Dengan evolusinya kepada format semasa, NHCCE juga lebih menekankan penyediaan perspektif global dengan mengumpulkan minda terbaik dalam sumber manusia (HR), pakar-pakar, penceramah, dan delegasi bukan sahaja dari peringkat tempatan malah antarabangsa.
Tahun ini, NHCCE sekali lagi memperjuangkan pendekatan moden dan inovatif terhadap pembangunan modal insan. Dengan tema ‘Menginsankan Kecerdasan Buatan (AI) untuk Tenaga Kerja Masa Depan’, persidangan ini memberi tumpuan kepada bagaimana para pengamal HR harus memanfaatkan AI untuk memandu strategi mereka dalam membentuk tenaga kerja masa depan yang lebih dinamik. Melalui persidangan ini, para delegasi juga diberikan medium untuk mendalami bagaimana AI sedang merevolusikan dunia pekerjaan di samping menekankan kepentingan mengintegrasikan teknologi dengan fokus kepada pembangunan dan keterangkuman manusia.
Dengan lebih 4,000 delegasi dari seluruh dunia, termasuk UK, Jerman, Singapura, Filipina, Brunei, Oman, Pakistan, dan India, NHCCE 2024 menjanjikan pertukaran perspektif global yang meluas. Para peserta akan terlibat dalam perbincangan panel, sesi interaktif, dan peluang jaringan dengan lebih 30 penceramah antarabangsa dan tempatan yang terkemuka.
Penceramah-penceramah terdiri daripada tokoh antarabangsa yang terkenal seperti wartawan pemenang anugerah Mehdi Hasan, pakar strategi inovasi Shawn Kanungo, dan jurulatih eksekutif John Mattone. NHCCE 2024 juga akan menampilkan tokoh korporat tempatan seperti Venon Tian, pengasas bersama dan COO Zus Coffee, serta Pei Si Lai, CEO GXBank, yang akan bersama-sama menawarkan perspektif komprehensif tentang kepimpinan, etika, integrasi AI, dan peranan teknologi yang sedang berkembang dalam sumber manusia.
Selain persidangan tersebut, NHCCE 2024 juga mempunyai ruang pameran antara yang terbesar di rantau ini, dengan lebih daripada 300 pempamer yang mengetengahkan trend terkini dalam model peningkatan kemahiran, platform kesejahteraan, dan teknologi canggih. Pada masa yang sama, akan ada ruang lounge padanan perniagaan dalam kawasan pameran yang dikenali sebagai BizMatch untuk membolehkan pengunjung mendapatkan program latihan pada kadar diskaun. Setakat ini, lebih daripada 1,200 kursus bernilai lebih RM550,000 akan ditawarkan di NHCCE 2024.
Bagi mereka yang mencari pekerjaan juga dijemput untuk melawat Pameran Kerjaya MyFutureJobs yang diadakan sempena NHCCE 2024, menawarkan peluang pekerjaan dengan hampir 50 syarikat tempatan dan antarabangsa.
Ketika Malaysia mengambil alih tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan, NHCCE 2024 mencerminkan komitmen HRD Corp untuk menyokong pembangunan negara dengan mewujudkan platform bagi pakar-pakar dari seluruh dunia untuk berhimpun di Malaysia bagi melahirkan idea-idea baharu dalam pembangunan modal insan. HRD Corp juga bertekad untuk memenuhi tanggungjawabnya dengan memupuk ekosistem yang mampu mengangkat modal insan Malaysia ke peringkat global.
PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA BERHAD
Wisma HRD Corp, Jalan Beringin,
Damansara Heights,
50490 Kuala Lumpur
[email protected] | 1300-88-4800
Penafian: HRD Corp tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan maklumat yang diperoleh dari laman web ini.
Hak Cipta © 2025 HRD Corp Hak cipta terpelihara | Dasar Keselamatan dan Privasi