BERITA & ARTIKEL

YB RAMANAN UMUM PELAKSANAAN PENGECUALIAN LEVI UNTUK INSTITUSI PENDIDIKAN SWASTA

KUALA LUMPUR, 14 Januari 2026 – YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia mengumumkan pelaksanaan pengecualian pembayaran Levi Pembangunan Sumber Manusia bagi majikan berdaftar dalam sektor pendidikan swasta, selaras dengan keputusan Kerajaan yang dibuat pada tahun 2025.

Pengecualian ini berkuat kuasa selama satu tahun, dari Januari 2026 hingga Disember 2026, meliputi institusi pendidikan swasta termasuk prasekolah, sekolah, institusi vokasional dan penyedia pendidikan tinggi. Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,500 majikan, dengan anggaran pelepasan levi melebihi RM35 juta.

Human Resource Development Corporation (HRD Corp) akan melaksanakan inisiatif ini yang pertama kali diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, semasa perasmian Minggu Latihan Kebangsaan pada Jun 2025.

YB Dato’ Sri Ramanan berkata, pengecualian ini bertujuan untuk memperkukuh ekosistem pendidikan Malaysia dengan memastikan institusi kekal berdaya tahan, terus melahirkan bakat berkemahiran dan bersedia menghadapi masa depan, serta menjamin kesinambungan dan kualiti penyampaian pendidikan.

“Sebagai tonggak asas kepada pertumbuhan negara, sektor pendidikan memainkan peranan kritikal dalam membangunkan bakat masa hadapan dan memperkukuh saluran modal insan jangka panjang Malaysia.

Langkah ini mencerminkan fokus Kerajaan MADANI dalam mempertingkatkan pembangunan bakat dan tenaga kerja, serta komitmen kami untuk menyokong ekosistem pendidikan yang mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi bin Mohamed Sultan berkata, HRD Corp menyokong keputusan itu dan akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

“Kita akan memudah cara pelaksanaan inisiatif tersebut dengan memastikan institusi pendidikan yang layak mendapat manfaat daripada langkah itu demi memperkukuh sektor Pendidikan,” ujarnya.

Perincian pelaksanaan telah dikongsikan semasa lawatan kerja rasmi Menteri ke HRD Corp baru-baru ini, yang merupakan lawatan pertama beliau sejak memegang jawatan pada Disember 2025, bersama YB Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia. Lawatan ini menzahirkan penyelarasan erat antara KESUMA dan HRD Corp dalam menterjemahkan dasar tenaga kerja nasional kepada pelaksanaan yang berkesan.

Di bawah kerangka levi sedia ada, bayaran levi bagi Januari 2026 lazimnya perlu dibayar pada atau sebelum 15 Februari 2026, manakala bayaran levi bagi Disember 2026 perlu dibayar pada atau sebelum 15 Januari 2027. Institusi yang layak akan dikecualikan daripada pembayaran levi tersebut bagi tempoh yang ditetapkan.

RESOURCES

RESOURCES