KUALA LUMPUR, 17 Januari 2026 – Selaras dengan bidang tumpuan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di samping mendokong aspirasi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia hari ini mengumumkan pelancaran Program Kemahiran VETRI MADANI 2026 (VETRI). Pelancaran ini diadakan bersempena sambutan Hari Ponggal peringkat kebangsaan yang menandakan perayaan musim menuai.
YB Dato’ Sri Ramanan berkata, Program Kemahiran VETRI MADANI ini sinonim dengan kejayaan menyempurnakan musim menuai.
“Vetri yang bermaksud ‘kemenangan’ mencerminkan komitmen KESUMA dalam membuka laluan kepada komuniti India Malaysia agar mereka dapat bangkit sekali gus membina masa depan yang lebih baik menerusi pembangunan kemahiran serta peluang penempatan pekerjaan.
“Melalui program inovatif ini, kami berhasrat untuk mewujudkan peluang bermakna yang menyokong pertumbuhan inklusif dan pembangunan tenaga kerja yang mampan,” ujarnya.
Program Kemahiran VETRI MADANI ini turut mengabsahkan komitmen HRD Corp dalam memajukan pembangunan bakat secara inklusif dengan melengkapkan komuniti India Malaysia dengan kemahiran untuk persediaan di masa hadapan yang dapat meningkatkan kebolehpasaran, menggalakkan mobiliti sosial sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Program ini direka untuk memperkasa komuniti India tempatan melalui latihan berstruktur yang mampu meningkatkan kualiti hidup dengan mewujudkan laluan pekerjaan serta peluang peningkatan kemahiran yang selari dengan keperluan industri.
Kursus yang akan ditawarkan merangkumi sektor-sektor utama berimpak tinggi dan strategik, termasuk Kecerdasan Buatan (AI), Pembelajaran Mesin, Keselamatan Siber dan Keselamatan Maklumat, Infrastruktur Awan dan Analitik Sains Data, Automasi, Robotik dan Industri 4.0, Semikonduktor serta Kejuruteraan Lanjutan Elektronik dan lain-lain.
Program ini disokong oleh peruntukan dana sebanyak RM10 juta daripada HRD Corp, dengan sasaran melatih 2,000 peserta di seluruh negara. Program ini bertujuan meningkatkan kebolehpasaran dan menyokong peningkatan kemahiran profesional melalui pensijilan yang diiktiraf.
Bagi memastikan capaian menyeluruh di peringkat nasional dan pelaksanaan yang berkesan, HRD Corp akan bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri serta penyedia latihan yang berdaftar dengan HRD Corp. Selaras dengan usaha HRD Corp dalam memastikan tadbir urus dan ketelusan yang baik, program ini akan ditadbir sepenuhnya secara dalam talian, manakala kursus latihan akan ditawarkan secara fizikal atau hibrid.
“Program Kemahiran VETRI MADANI mencerminkan komitmen HRD Corp dalam menyokong misi KESUMA dan Kerajaan MADANI untuk membina Malaysia yang bersedia menghadapi masa depan dengan memajukan kemahiran serta memperkasa bakat merentasi semua komuniti,” tambah Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi bin Mohamed Sultan.
Untuk maklumat lanjut dan terkini, sila layari www.hrdcorp.gov.my.