Kuala Lumpur, 30 Oktober 2023 – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah melancarkan National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Upacara tersebut dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Yang Berhormat Menteri Sumber Manusia, Tuan V. Sivakumar.
Berlangsung dari 30 hingga 31 Oktober 2023 di MITEC, Kuala Lumpur, NHCCE 2023 merupakan kesinambungan kejayaan NHCCE 2022, yang menerima sambutan luar biasa daripada delegasi dari rantau Asia Tenggara.
Dengan tema baharu, ‘Menjana Pertumbuhan, Menginspirasi Perubahan’, NHCCE 2023 bertujuan membantu organisasi dan para pengamal sumber manusia berada di hadapan tuntutan yang sentiasa berubah dalam tempat kerja moden. Ini adalah penting kerana organisasi di Malaysia dan Asia Tenggara menghadapi pelbagai gangguan dalam membentuk dinamik tempat kerja.
Mengambil langkah lebih proaktif, NHCCE 2023 menampilkan rangkaian penceramah yang unggul dengan lebih daripada 30 pemikir terkemuka dalam bidang modal insan dunia, pengamal sumber manusia yang berfikiran progresif, serta pakar subjek seperti Ghanim Al-Muftah, seorang usahawan warga Qatar, penstrim dalam talian serta filantropis dengan sindrom regresi kaudal; Dave Ulrich, yang sering diangkat sebagai bapa sumber manusia moden; Eric Termuende, seorang pemikir terkemuka yang diiktiraf secara global, Dr. Justin Cohen, seorang penceramah antarabangsa yang terkenal dalam kalangan penceramah; turut bersama adalah pemimpin industri tempatan seperti Datuk Nora Manaf, Ketua Pegawai Kumpulan Modal In san Maybank; Frank Koo, Ketua Bahagian Asia – Penyelesaian Bakat & Pembelajaran LinkedIn dan Luanna Sieh, Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan CIMB.
Sepanjang dua hari akan datang, para penceramah akan memimpin perbincangan yang mendalam mengenai cabaran pembangunan modal insan moden dari perspektif antarabangsa dan tempatan. Perbincangan akan berdasarkan lima (5) topik utama yang merangkumi lima (5) pilar iaitu Teknologi & Inovasi, Kepimpinan & Pertumbuhan, Motivasi & Kesejahteraan, Pembelajaran & Pembangunan, dan Tenaga Kerja Dinamik & Tempat Kerja Masa Depan. Perbincangan ini akan memberikan pandangan yang baharu serta holistik terhadap pembangunan modal insan, memperkasakan para pengamal sumber manusia untuk mengambil peranan lebih strategik dalam organisasi masing-masing.
Berucap semasa pelancaran, Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Tuan V. Sivakumar berkata, “NHCCE 2023 adalah contoh terbaik kerjasama antara sektor awam dan swasta demi meningkatkan kualiti pembangunan sumber manusia tempatan. Dengan perkongsian serupa yang terus berkembang, saya berharap ia akan memberi manfaat kepada lebih ramai pekerja dan, pada akhirnya, negara.”
Sambil memuji peranan HRD Corp sebagai pemangkin untuk meningkatkan landskap pembangunan modal insan Malaysia sejak penubuhannya tiga dekad yang lalu, Menteri Sumber Manusia juga berkongsi harapannya agar agensi di bawah Kementeriannya akan terus menjadi suara dan jambatan di lapangan.
Pada majlis tersebut turut menyaksikan HRD Corp mengumumkan perkongsian strategik dengan beberapa organisasi terkemuka. Ia bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Dana Pembangunan Kemahiran (SDF), Kemboja. MoU dengan ILO memberi tumpuan kepada usaha dan kerjasama untuk mempromosikan akses dan penyertaan dalam pembelajaran sepanjang hayat bagi kumpulan rentan serta meningkatkan kualiti dan juga relevansi latihan yang disediakan oleh majikan. Perkongsian dengan SDF akan membawa kepada kerjasama penjenamaan bersama yang akan menjadikan HRD Corp dan SDF sebagai rakan strategik jangka panjang dalam mempromosikan pembangunan kemahiran yang responsif terhadap industri serta meningkatkan kemahiran dan daya saing tenaga kerja masing-masing.
Dalam upacara yang sama, HRD Corp juga bertukar Surat Perjanjian Kerjasama dengan Bank Dunia mengenai perkongsian pengetahuan berhubung amalan terbaik berkaitan dengan latihan, pembangunan kemahiran, dan pengumpulan modal insan di Malaysia. Selain itu, mereka juga memetarai surat penyataan hasrat dengan Universiti Johns Hopkins (JHU) untuk menggalakkan kerjasama ilmiah dan persefahaman bersama untuk pendidikan, dan perkongsian akademik lain.
Selain itu, HRD Corp juga menjalin lebih banyak perkongsian serta inisiatif kerjasama dalam pembangunan modal insan melalui Upacara Pertukaran MoU dengan Harvard Business Publishing, Udemy, CoachHub, The UN Global Network Malaysia & Brunei Trust (UNGCMYB), Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Pusat Keunggulan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Institut Piawaian Sumber Manusia (HRSI), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Universiti Cyberjaya (UoC), dan Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU).
Di samping itu, NHCCE 2023 juga bertindak sebagai platform untuk kerjasama bersama pemain industri lain, di mana penyedia pembangunan modal insan inovatif, Peoplelogy, turut menukar MoU dengan lapan rakan industri untuk inisiatif penempatan bakat.
Dalam pada itu, NHCCE 2023 juga menjadi hos kepada salah satu pameran terbesar di Malaysia tahun ini dengan lebih daripada 400 pempamer yang berwibawa, menyediakan model peningkatan kemahiran terkini, teknologi baru, dan platform kesejahteraan, memajukan pertumbuhan organisasi dan individu. Pada masa yang sama, terdapat beberapa aktiviti menarik lain, seperti sesi perkongsian daripada pempengaruh utama dari kalangan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dan ekonomi gig serta cabutan bertuah.