BERITA & ARTIKEL
KENYATAAN BALAS RASMI HRD CORP
TUDUHAN INISIATIF PASPORT KEMAHIRAN OLEH THE VIBES

Satu artikel telah diterbitkan oleh portal berita dalam talian “The Vibes” bertarikh 7.5.2023 bertajuk “Fresh Scandal Brewing at HR Ministry?” mengandungi dakwaan serius mengenai HRD Corp berkaitan kontrak dan proses perolehan inisiatif Pasport Kemahiran atau Skills Passport. Artikel tersebut mengandungi kenyataan palsu dan fitnah yang telah menyebabkan kerosakan serius terhadap reputasi dan integriti HRD Corp.

Pihak The Vibes tidak membuat sebarang percubaan untuk menghubungi HRD Corp untuk membolehkan kami memberikan jawapan kepada kenyataan yang salah sebelum menerbitkan artikel yang mengelirukan ini. Ini mengecewakan dan tidak menggambarkan standard kewartawanan yang baik atau beretika daripada The Vibes.

Perkara-perkara yang dinyatakan dalam surat berkenaan telah dijawab dan diselesaikan pada Mesyuarat Lembaga Pengarah HRD Corp. Di samping itu, kami percaya bahawa kandungan surat itu dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dan bukan untuk penglihatan awam dan penerbitan media.

Di HRD Corp, kami sentiasa komited untuk mengekalkan standard etika, ketelusan dan integriti tertinggi. Kami mengambil berat terhadap dakwaan yang tidak betul dalam artikel terbitan The Vibes. Kami tidak akan membiarkan dakwaan tidak berasas ini tidak dijawab dan kami akan mengambil tindakan yang perlu untuk mempertahankan reputasi dan melindungi kepentingan kami.

Untuk itu, HRD Corp telah mengarahkan peguam kami untuk memulakan tindakan undang-undang bagi memastikan penarikan balik artikel berkenaan dan permohonan maaf daripada “The Vibes”.

HRD Corp percaya bahawa keadaan ini mungkin membimbangkan orang ramai dan pihak berkepentingan HRD Corp, dan kami ingin memberi jaminan kepada semua bahawa HRD Corp akan menyelesaikan perkara ini secepat mungkin.

Sebarang perkembangan dalam perkara ini akan kami maklumkan dari masa ke semasa. Kami menghargai sokongan berterusan daripada anda.

Terima kasih.
HRD CORP
7 Mei 2023

RESOURCES

RESOURCES

RESOURCES