BERITA & ARTIKEL

TAHUN KEMAHIRAN ASEAN (AYOS) 2025 MELABUHKAN TIRAI DENGAN KEJAYAAN BERSEJARAH MELALUI TUJUH PLATFORM UTAMA

KUALA LUMPUR, 24 Oktober 2025 – Tahun Kemahiran ASEAN (ASEAN Year of Skills – AYOS) 2025, inisiatif utama Malaysia di bawah Pengerusi ASEAN 2025, telah melabuhkan tirainya dengan Majlis Makan Malam Gala yang berlangsung pada 22 Oktober di Kuala Lumpur. Bertemakan “Colours of Success: A Celebration of Achievements”, majlis ini menandakan kemuncak kepada perjalanan sepanjang tahun, meraikan pencapaian dan kejayaan bersama sepanjang pelaksanaan AYOS 2025.

Majlis Makan Malam Gala ini telah diserikan dengan kehadiran Yang Amat Berhormat Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Yang Berhormat Encik Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia Malaysia, serta Tuan Yang Terutama Encik Gilbert F. Houngbo, Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

AYOS 2025 dilancarkan secara rasmi pada 14 April 2025 di Kuala Lumpur. Inisiatif ini diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA) melalui agensinya Human Resource Development Corporation (HRD Corp), dengan sokongan padu daripada ILO dan Sekretariat ASEAN (ASEC).

Bertemakan “Bridging Talent, Building ASEAN”, AYOS 2025 menunjukkan usaha bersepadu rantau ini dalam memperkukuh ekosistem kemahiran yang inklusif, mampan dan bersedia untuk masa hadapan. Ia mencerminkan komitmen bersama ASEAN untuk mentransformasi tenaga kerja dan memperkukuh kedudukan rantau ini sebagai peneraju global dalam pembangunan modal insan serta transformasi kemahiran.

YAB Datuk Amar Fadillah berkata, “AYOS 2025 benar-benar mencerminkan keyakinan bahawa apabila kita melabur dalam kemahiran, kita bukan sahaja melabur untuk rakyat kita, tetapi juga untuk masa depan dan kemakmuran ASEAN.”

Beliau menambah, “AYOS 2025 telah menjadi antara inisiatif penting yang meletakkan pembangunan modal insan di tengah-tengah agenda serantau. Bersama-sama, kita telah memperkenalkan model inovatif, memacu kerjasama berasaskan industry dan membangunkan rangka kerja yang menggalakkan mobiliti bakat serta pengiktirafan bersama merentasi sempadan.”

Dalam ucapannya, Tuan Yang Terutama Encik Gilbert F. Houngbo, Ketua Pengarah ILO berkata, “Apabila kita melangkah ke hadapan, momentum yang dibina oleh AYOS 2025 menjadi asas kukuh untuk masa hadapan. Saya amat berbesar hati dengan inisiatif baharu antara Kerajaan Malaysia, HRD Corp dan ILO yang akan memberi sumbangan besar dalam membangunkan tenaga kerja yang seiring dengan ekonomi hijau dan digital yang sedang berkembang.”

Yang Berhormat Steven Sim pula berkata, “AYOS 2025 merupakan satu inisiatif bersejarah bagi ASEAN yang membuktikan komitmen kolektif kita dalam melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran, inklusif dan bersedia menghadapi masa hadapan. Ketika kita meraikan kejayaannya, kita juga memperbaharui tekad untuk memperkasa bakat di seluruh rantau ini dan memastikan peluang untuk semua terus maju dan berkembang dalam dunia kerja yang sentiasa berubah.”

Sementara itu, Dr. Syed Alwi bin Mohamed Sultan, Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, berkata, “Perjalanan AYOS 2025 menunjukkan kekuatan kolaborasi dan visi bersama antara negara-negara ASEAN. HRD Corp berbangga memainkan peranan dalam membentuk pembangunan kemahiran yang bukan sahaja inovatif dan inklusif, tetapi juga berorientasikan ke arah mewujudkan tenaga kerja mampan dan berdaya saing untuk masa depan.”

AYOS 2025 telah menggerakkan kerajaan, industri dan komuniti melalui tujuh (7) platform utama yang merapatkan jurang kemahiran, menggalakkan mobiliti bakat dan memperkukuh keterangkuman di seluruh ASEAN. Inisiatif ini juga memupuk kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta serta mempertingkatkan daya tahan kolektif ASEAN dalam menghadapi peralihan global melalui platform berikut:

  1. 27 & 28 Mei 2025 – ASEAN Human Capital Development Investment Symposium (AHCDIS): Menghimpunkan pembuat dasar, pelabur dan pakar untuk meneroka model pembiayaan inovatif dan menonjolkan amalan terbaik dalam memperluas akses kepada kemahiran.
  2. 14 hingga 21 Jun 2025 – Minggu Latihan Kebangsaan (National Training Week – NTW) 2025: Memberi manfaat kepada jutaan peserta di seluruh ASEAN dengan 3.7 juta penyertaan dan 70,000 program latihan percuma merentasi pelbagai industri, sekali gus memberi inspirasi inisiatif yang sama di peringkat serantau.
  3. 15 Julai 2025 – ASEAN Training Market Conference (ATMC): Menghubungkan industri, penyedia latihan dan kerajaan untuk memperkukuh kerjasama serantau serta perkongsian rentas sempadan.
  4. 13 & 14 Ogos 2025 – ASEAN TVET Conference (ASEAN TVET): Memacu dialog mengenai reformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembelajaran berasaskan kerja di rantau ini
  5. 6 hingga 8 Oktober 2025 – Persidangan & Pameran Modal Insan Kebangsaan (National Human Capital Conference & Exhibition -NHCCE) 2025: Dihadiri oleh hampir 3,000 delegasi. Menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi modal insan. Melalui segmen BizMatch, lebih RM3 juta nilai untuk pendaftaran baru dijana dalam masa tiga (3) hari, menunjukkan indikasi bahawa rakyat Malaysia bersemangat untuk meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula.
  6. 22 & 23 Oktober 2025 – Global Skills Forum (GSF): Mengangkat suara ASEAN ke peringkat global dalam membincangkan masa depan pembangunan kemahiran, menekankan peranan sektor swasta dan kerjasama awam-swasta, serta menunjukkan kepentingan teknologi hijau dan kemahiran digital bagi tenaga kerja masa depan.
  7. 22 Oktober 2025 – Forum Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN mengenai Pembangunan Modal Insan (AFMM-HCD): Platform di mana Negara Anggota ASEAN mengesahkan komitmen kolektif mereka untuk memperkukuh pembangunan kemahiran dan transformasi tenaga kerja dengan penggubalan Joint Statement on Skills Development for the Future Workforce in ASEAN.

Majlis Makan Malam Gala turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Datuk Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KESUMA; Yang Berbahagia Datuk Abu Huraira bin Abu Yazid, Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp; Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN; duta-duta ke Malaysia serta wakil-wakil dari agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat.

Walaupun AYOS 2025 telah berakhir, usaha untuk membangunkan tenaga kerja ASEAN yang berkemahiran, mudah menyesuaikan diri dan inklusif akan diteruskan. Asas kukuh yang telah dibina melalui inisiatif ini akan menjadi panduan kepada kerjasama berterusan, bagi memastikan rantau ini kekal berdaya saing, berdaya tahan dan bersiap sedia untuk masa hadapan.

 

RESOURCES

RESOURCES