News & Articles

PERDANA MENTERI LANCAR HRD CORP & PLATFORM SEHENTI NASIONAL

Perubahan nama sejajar dengan peranan agensi yang diperluaskan sebagai pusat untuk menguruskan latihan dan pembangunan kemahiran Malaysia

Kuala Lumpur, 2 Disember 2021 – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah melancarkan jenama baharu Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. Beliau juga turut merasmikan platform sehenti nasional pertama negara, UpskillMalaysia, yang akan menampilkan senarai komprehensif program latihan dan pembangunan kemahiran yang ditawarkan oleh Kerajaan Malaysia.

Agensi yang sebelum ini dikenali sebagai Human Resources Development Fund (HRDF) ditubuhkan pada 1993, di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM). Fungsi utamanya adalah untuk mengumpul kutipan levi daripada majikan berdaftar dan mengeluarkan geran latihan untuk program latihan serta peningkatan kemahiran pekerja. Pada tahun pertama operasinya, ia mengutip sebanyak RM55 juta levi daripada perniagaan dalam sektor perkilangan sahaja. Pada 2021, kutipan levinya telah melebihi RM673 juta setakat ini dan dijangka mencecah RM680 juta menjelang akhir tahun. Ini telah disalurkan ke arah menyokong keperluan latihan dan pembangunan lebih 65,400 majikan berdaftar di seluruh Negara.

Dalam tempoh 18 bulan yang lalu, HRD Corp telah meluaskan peranannya untuk memenuhi keperluan latihan dan pembangunan rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat dalam usaha untuk memulihkan sosio-ekonomi Negara yang terkesan akibat pandemik tempohari.

Antara program yang dikelolakan HRD Corp adalah PENJANA HRDF yang diperkenalkan pada Jun 2020, dengan pembiayaan lebih RM500 juta dan telah dimanfaatkan hampir 100,000 peserta setakat ini. Selain itu, HRD Corp juga telah melancarkan platform pembelajaran dalam talian percuma e-LATiH yang telah menerima penyertaan sebanyak 370,000 dalam semua kursusnya; dan membangunkan HRD Corp Placement Center (HPC) yang menawarkan hampir 40,000 peluang pekerjaan dan penempatan dengan beberapa majikan terkemuka di Malaysia.

Selaras dengan peranan yang diperluaskan ini, HRD Corp juga akan menjadi agensi utama untuk mengurus UpskillMalaysia, platform sehenti nasional untuk semua program peningkatan kemahiran yang ditawarkan dan dibiayai oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan. Sehingga kini, lebih 200 program dalam 35 bidang kemahiran ditawarkan oleh 28 kementerian dan agensi menerusi platform tersebut. Lebih banyak kursus serta agensi yang akan disertakan di dalam senarai dalam masa terdekat. Kerajaan juga menyasarkan untuk melatih 220,00 rakyat Malaysia menerusi portal tersebut menjelang akhir 2022.

Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dalam ucapannya berkata, HRD Corp telah berada di barisan hadapan dalam membangunkan tenaga kerja berasaskan pengetahuan berkemahiran tinggi di Malaysia sejak tiga dekad yang lalu.

“Oleh itu, saya dengan sukacitanya mengumumkan semua program pembangunan modal insan dan kemahiran Malaysia akan diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan akan diuruskan secara berpusat oleh HRD Corp. Ini akan membolehkan kerajaan memulakan strategi pembangunan bakat yang lebih padu, tersusun dan cekap yang boleh memacu pemulihan ekonomi Malaysia pasca pandemik,” katanya.

Menurut Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Datuk Seri M. Saravanan, pihaknya amat berbesar hati di atas pengiktirafan yang diberikan Dato’ Sri Ismail Sabri terhadap KSM dan HRD Corp sebagai pemangkin utama inisiatif pembangunan modal insan Malaysia.

“Kejayaan serta daya tahan HRD Corp dalam tempoh 28 tahun yang lalu adalah bukti keupayaannya untuk menyesuaikan diri dan berkembang demi keperluan pembangunan ekonomi dan modal insan Malaysia. Tanggungjawab baharu ini datang tepat pada masanya dalam sejarah HRD Corp kerana ia juga telah mengembangkan program levinya untuk meliputi 18 sektor dan 238 subsektor, berbanding hanya 3 sektor dan 63 subsektor sebelum ini. Pelaksanaan ini akan membolehkan HRD Corp meliputi sehingga 6.1 juta pekerja dalam tempoh lima tahun akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, HRD Corp juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan perkongsian strategik pada tahun lalu. Terbaharu, ia telah melancarkan Second Chances & Opportunities for People to Excel (SCOPE) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia (JPM) untuk menyediakan latihan dan pekerjaan kepada bekas tahanan. Agensi ini juga akan melancarkan program serupa untuk membantu warga emas, ibu tunggal dan wanita B40, serta orang kelainan upaya (OKU).

RESOURCES

RESOURCES

RESOURCES