KUALA LUMPUR, 6 Oktober 2025 – Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2025 telah dilancarkan hari ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai persidangan pembangunan modal insan terbesar di Asia Tenggara. Platform ini mencerminkan kepimpinan Malaysia dalam menerajui agenda peningkatan kemahiran dan latihan semula di rantau ini bagi membina tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia, diiringi Datuk Abu Huraira bin Abu Yazid, Pengerusi Lembaga Pengarah Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Dr. Syed Alwi bin Mohamed Sultan, Ketua Eksekutif, HRD Corp.
Bertemakan “Menerajui Revolusi Modal Insan”, persidangan ini membincangkan bagaimana Kecerdasan Buatan (AI) dan perubahan teknologi dapat mengubah landskap tempat kerja sambil memupuk nilai keterangkuman, daya tahan dan hubungan kemanusiaan.
Datuk Abu Huraira dalam ucapannya berkata, acara tersebut mencerminkan peranan Malaysia yang semakin menonjol dalam memacu keutamaan pembangunan modal insan serantau.
“NHCCE kini menjadi lambang utama agenda modal insan Malaysia dan turut melangkaui sempadan negara. Platform ini membolehkan kita berkongsi pandangan, membina kerjasama dan melaksanakan tindakan bermakna untuk mempersiapkan tenaga kerja ASEAN bagi menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, YB Steven Sim memaklumkan bahawa sejak tahun 2023, HRD Corp telah mengutip sejumlah RM6.17 bilion daripada sumbangan levi. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM5.77 bilion atau hampir 94 peratus telah digunakan untuk melatih kira-kira empat (4) juta pekerja di seluruh negara.
Pada majlis tersebut, YB Steven Sim turut mengumumkan bahawa HRD Corp juga berjaya menggandakan hasil kutipan NHCCE dengan lebihan sebanyak RM1 juta berbanding RM500,000 pada tahun 2024 dan lebihan tersebut akan disalurkan semula kepada program latihan untuk pekerja ekonomi gig di seluruh Malaysia.
“Keputusan ini dibuat susulan kelulusan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 baru-baru ini, yang buat pertama kali memberikan perlindungan tenaga kerja kepada jutaan pekerja gig di Malaysia. Langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan dan HRD Corp untuk memastikan semua segmen tenaga kerja, termasuk mereka dalam ekonomi gig, mendapat akses saksama kepada latihan dan peluang pembangunan kerjaya.
“Ekonomi gig kini menjadi sebahagian besar daripada pasaran buruh negara. Dengan melabur dalam peningkatan kemahiran mereka, kita membantu mereka beralih ke peranan yang lebih berkemahiran tinggi dan berpendapatan lebih baik, sekali gus memastikan Malaysia terus bergerak ke arah matlamat 35 peratus tenaga kerja berkemahiran menjelang 2030,” katanya lagi.
Diadakan dari 6 hingga 8 Oktober 2025, NHCCE 2025 menampilkan 33 penceramah antarabangsa dan tempatan, termasuk Dr. Michio Kaku, Sonny Bill Williams, Graeme Codrington, David Coulthard, Dato’ Sri Idris Jala dan Datuk Nicol David, yang akan mengupas pelbagai topik utama seperti tenaga kerja masa depan, kemampanan, transformasi digital dan kepimpinan, menarik penyertaan kira-kira 3,000 delegasi dari dalam dan luar negara.
Selain persidangan, lebih 300 pempamer turut mempamerkan pelbagai inovasi terkini dalam pembangunan modal insan, di samping sesi rangkaian, kelas induk dan Pameran Kerjaya MYFutureJobs oleh PERKESO.
Turut hadir ialah Dr. Hj. Mohd Shaharin bin Umar, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Encik Sutekno bin Ahmad Belon, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA.