BERITA & ARTIKEL

NEGARA-NEGARA ANGGOTA ASEAN MENGUKUHKAN KENYATAAN BERSAMA UNTUK MEMPERKASA PEMBANGUNAN KEMAHIRAN TENAGA KERJA

KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2025 – Negara-negara Anggota ASEAN menegaskan semula komitmen kolektif untuk memperkukuh pembangunan kemahiran dan transformasi tenaga kerja di seluruh rantau ini melalui penerimaan Kenyataan Bersama mengenai Pembangunan Kemahiran bagi tenaga kerja masa hadapan di ASEAN, yang berlangsung di Shangri-La Kuala Lumpur, semalam.

Kenyataan Bersama ini dibincangkan dalam Forum Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN – Pembangunan Modal Insan (AFMM-HCD) yang diadakan pada 22 Oktober 2025 di bawah inisiatif Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025. Ia menandakan satu langkah penting dalam merealisasikan visi bersama ASEAN untuk membina tenaga kerja yang berdaya tahan, inklusif dan bersedia menghadapi masa hadapan ke arah menjana pertumbuhan serantau yang mampan.

Deklarasi bersejarah yang disokong oleh Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN telah disampaikan oleh Yang Berhormat Encik Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia Malaysia kepada Tuan Yang Terutama Encik Gilbert F. Houngbo, Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Ia turut disaksikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, bersama Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN, semasa Majlis Perasmian Forum Kemahiran Global (GSF) 2025.

Kenyataan Bersama ini mencerminkan visi ASEAN yang holistik untuk memacu transformasi tenaga kerja dengan melahirkan tenaga kerja yang inklusif, berkemahiran dan mampu menyesuaikan diri dengan keperluan ekonomi global yang semakin berkembang.

Dalam ucapan beliau, Yang Berhormat Encik Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia Malaysia menzahirkan hasrat untuk menjadikan ASEAN sebagai hab bakat global, dengan setiap negara menyumbang kekuatan, kepakaran dan kelebihan masing-masing.

“Kita masing-masing mempunyai keutamaan, kepentingan dan hala tuju nasional. Namun, harus ada lebih banyak perkongsian amalan terbaik dalam latihan kemahiran, yang akhirnya akan membawa kepada penyeragaman piawaian kemahiran, pengiktirafan pensijilan kemahiran dan seterusnya kebolehgerakan kemahiran di seluruh rantau ini,” ujar Steven Sim.

Beliau turut menekankan bahawa agenda kemahiran ASEAN boleh dirangkumkan kepada tiga (3) nilai teras iaitu kebolehcapaian, kebolehsuaian dan kemampanan.

“Latihan kemahiran mesti boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat, boleh disesuaikan dengan keperluan dunia sebenar khususnya dalam era Kecerdasan Buatan (AI) dan pendigitalan, serta perlu mampan dari segi sumber dan pembiayaan,” tambah beliau.

Visi ini akan direalisasikan melalui kerjasama serantau yang lebih kukuh, pertukaran amalan terbaik, perkongsian maklumat pasaran pekerja dan ramalan keperluan kemahiran yang tepat, selain mempercepatkan pelaksanaan inisiatif pembelajaran digital dan sepanjang hayat.

Ia juga menunjukkan tekad ASEAN untuk memperkasakan rakyatnya dengan kemahiran masa hadapan, termasuk kemahiran digital, hijau dan Kecerdasan Buatan (AI), bagi memastikan tenaga kerja rantau ini kekal berdaya saing dan berdaya tahan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Dr. Syed Alwi bin Mohamed Sultan, dalam ucapannya berkata, idea AYOS 2025 bermula daripada suatu tekad bersama, iaitu untuk melengkapkan setiap warganegara ASEAN dengan kemahiran, nilai dan peluang yang tepat untuk berjaya dalam dunia yang sedang berubah dengan pantas.

“Setiap platform utama di bawah AYOS 2025 menandakan setiap satu perjalanan kita daripada visi kepada tindakan bersepadu, dengan menggerakkan bakat, memperkasa keterangkuman dan mempersiapkan rantau ini untuk masa hadapan, yang membawa kita ke Forum ini.”

“AFMM-HCD berfungsi untuk mengukuhkan semula visi bersama Malaysia dalam mewujudkan ekosistem kemahiran yang inklusif dan bersedia menghadapi masa hadapan, sekali gus menterjemahkan visi tersebut menjadi kenyataan,” tambah Dr. Syed Alwi.

Malaysia, melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan agensinya, HRD Corp, telah memainkan peranan penting dalam memperjuangkan pembangunan modal insan sebagai keutamaan serantau melalui penganjuran AYOS 2025, sempena Pengerusian ASEAN Malaysia. Inisiatif ini telah menyatukan Kerajaan, industri dan institusi pembelajaran bagi memacu tindakan bermakna ke arah pembinaan tenaga kerja ASEAN yang bersedia menghadapi masa hadapan.

Penerimaan Kenyataan Bersama ini menjadi bukti kepada visi kolektif ASEAN dalam membina rantau yang berkemahiran, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan rantau yang terus belajar, berkembang dan makmur bersama menghadapi transformasi global.

AYOS 2025, yang diterajui oleh KESUMA melalui HRD Corp dengan sokongan jitu daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Sekretariat ASEAN, adalah bukti kukuh kepimpinan Malaysia serta kejayaan bersama ASEAN dalam memajukan pembangunan kemahiran, memacu inovasi dan menggalakkan pertumbuhan inklusif di rantau ini.

RESOURCES

RESOURCES