Kuala Lumpur, 24 Januari 2024 – Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Steven Sim
Chee Keong, hari ini mengumumkan tarikh National Training Week (NTW) 2024 dalam
majlis bertempat di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Majlis tersebut juga dihadiri Yang
Berbahagia Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber
Manusia yang baru dan Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman, Presiden Persatuan
Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Dianjurkan oleh HRD Corp di bawah naungan Kementerian Sumber Manusia, NTW
merupakan satu minggu yang penuh dengan acara latihan serta aktiviti yang
menghimpunkan organisasi dan individu dari pelbagai latar belakang dan industri untuk
mengalami peluang pembelajaran dan Pembangunan di seluruh negara. Latihan
ditawarkan oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia secara percuma di pelbagai
lokasi serta melalui pelbagai mod dan platform pembelajaran.
NTW 2024, yang akan berlangsung sepanjang 24 hingga 30 Jun 2024, merupakan
kesinambungan kepada NTW 2023 yang mendapat sambutan amat menggalakkan.
Diadakan pada Mei tahun lalu, NTW yang dilancarkan buat pertama kali itu telah
melebihi hampir semua sasaran awal pelaksanaan apabila berjaya menyediakan lebih
dari 21,000 kursus latihan percuma kepada lebih daripada 129,000 rakyat Malaysia di
samping mencatatkan lebih daripada 503,000 jam latihan.
Pada tahun ini, Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp akan sekali lagi mengambil
tanggungjawab dalam menggerakkan pentas pembangunan modal insan tempatan,
meneraju NTW 2024. Dengan mengekalkan matlamat yang sama untuk menggalakkan
pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia, NTW 2024
menetapkan sasaran lebih besar dengan 150,000 pendaftaran di seluruh negara,
dengan tumpuan yang lebih besar kepada program latihan percuma dalam lima (5)
teras: kemahiran hidup, kemahiran masa depan, kreativiti dan inovasi, kewangan, dan
pembangunan mampan. Teras ini dipilih berdasarkan keperluan bakat dan industri
Malaysia.
Dalam ucapannya, YB Steven Sim berkata: “Setiap tahun, HRD Corp memberi manfaat
kepada 82,000 PKS daripada 1.2 juta PKS di Malaysia. Oleh itu, kami mahu PKS yang lain yang tidak berdaftar untuk turun mendapat manfaat pada minggu latihan kebangsaan
ini. NTW yang diadakan pada tahun lepas telah melatih lebih 129,000 rakyat Malaysia
menerusi pelbagai kursus latihan dengan rekod jam latihan lebih 503,000 jam.”
Untuk NTW 2024, beliau mensasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 150,000
pendaftaran sepanjang minggu. Pada masa yang sama, beliau turut berharap agar
NTW akan memberi tumpuan kepada kualiti latihan yang disediakan dan menetapkan
standard emas untuk industri latihan
Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood berkata, ketika
HRD Corp memperkenalkan NTW tahun lalu, organisasi tersebut memiliki satu tujuan
utama; untuk memberikan akses kepada peluang pembelajaran dan pembangunan
percuma kepada semua rakyat Malaysia, tanpa memandang latar belakang, usia,
kemahiran, pengalaman, atau pengetahuan mereka.
“Saya bangga menyatakan, keberhasilan inisiatif ini dapat dicapai dengan sokongan,
komitmen, dan dedikasi daripada semua pihak sama ada dari kementerian, agensi
kerajaan, institusi pendidikan, organisasi masyarakat, majikan berdaftar, pelatih,
penyedia pelatih, dan lain-lain.
“Terima kasih atas sokongan anda. Saya berharap anda sudi bekerjasama dengan
kami lagi tahun ini demi memastikan program pembelajaran dan pembangunan yang
lebih tinggi impaknya untuk semua rakyat Malaysia,” ujarnya.
Semasa majlis tersebut, Menteri Sumber Manusia dan Ketua Eksekutif HRD Corp juga
turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 15 Rakan Acara Satelit Utama serta
enam Rakan Pembelajaran Maya NTW 2023*. Sijil tersebut merupakan tanda
penghargaan kepada rakan strategik yang aktif menyumbang kepada kejayaan NTW
2023.