BERITA & ARTIKEL

MENTERI SUMBER MANUSIA & HRD CORP KONGSI SEMARAK TAHUN BARU CINA

HRD Corp meraikan tahun yang cemerlang dan mengumumkan lebih banyak inisiatif peningkatan kemahiran dan latihan semula untuk komuniti luar bandar
Kuala Lumpur, 21 Februari 2024 – Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Steven Sim Chee Keong bersama-sama dengan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) meraikan sambutan Tahun Baru Cina di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Sambutan tersebut dianjurkan oleh HRD Corp, dengan dipimpin oleh Pengerusinya, Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Ketua Eksekutif, Datuk Wira Shahul Dawood, Lembaga Pengarah serta barisan pengurusan kanan. Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Dato’ Sri Abdul Rahman bin Hj. Mohamad; Ketua Setiausaha, Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud, serta ketua-ketua agensi dan jabatan dalam Kementerian Sumber Manusia.
Sambutan ini juga dihadiri lebih 1,000 tetamu termasuk pemegang taruh HRD Corp yang terdiri daripada majikan Malaysia, persatuan industri, jurulatih, penyedia latihan, dan juga media.
Yang Berhormat Steven Sim berkata, sambutan Tahun Baru Cina kali ini memberikan HRD Corp satu lagi sebab untuk meraikan kejayaan.
“Kementerian Sumber Manusia menerusi HRD Corp telah mencapai rekod terbaik tahun lepas dengan pungutan levi tertinggi sebanyak RM2.2 bilion, pemberian kelulusan geran bantuan kewangan sebanyak RM1.78 bilion, dan kelulusan lebih daripada 2.2 juta tempat latihan sejak penubuhannya pada tahun 1993. Sebagai perbandingan, tahun lalu HRD Corp merekodkan pungutan levi sebanyak RM1.81 bilion, meluluskan lebih RM728 juta tuntutan dana latihan, dan meluluskan 1.15 juta tempat latihan.
“Kementerian Sumber Manusia komited untuk menyediakan program latihan berkualiti kepada semua rakyat Malaysia untuk meningkatkan produktiviti dan ekonomi negara. Ini selaras dengan fokus 3K kami untuk meningkatkan Kebajikan, Kemahiran, dan Keberhasilan dalam kalangan pekerja Malaysia,” katanya Ketika berucap pada majlis tersebut.
Dalam pada itu, Yang Berhormat Menteri juga turut memberikan mandat kepada HRD Corp untuk menyediakan program latihan kepada semua lapisan masyarakat, khususnya usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana serta individu di kawasan luar bandar, bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang terlepas peluang untuk mendapatkan latihan dan pembangunan.
Pada masa yang sama, beliau juga berharap agar HRD Corp terus menjalin kerjasama dengan pihak berkepentingan lain untuk mendorong dan mempromosikan pembangunan kemahiran di negara ini supaya Malaysia suatu hari nanti mencapai status “Ivy League” dalam latihan dan pembangunan yang secara tidak langsung telah memberikan cabaran kepada Kementerian dan HRD Corp untuk menjadikan latihan dan pembangunan modal insan sebagai sektor yang paling penting di Malaysia pada tahun ini.
Sementara itu, Pengerusi HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, semua kejayaan yang dicapai HRD Corp tahun lalu tidak akan mungkin terjadi tanpa bantuan dan sokongan dari organisasi lain.
“Sambutan rumah terbuka hari ini juga merupakan tanda penghargaan kami kepada setiap majikan berdaftar, penyedia latihan, dan semua pihak berkepentingan kami atas semua usaha yang telah kita lakukan bersama demi menyokong agenda pembangunan negara,” ujarnya.
Tambahnya, HRD Corp akan teguh berdiri menyokong kepimpinan Yang Berhormat Steven Sim dan agensi ini mengalu-alukan sokongan berterusan dari para pemegang taruh.
Antara aktiviti yang diadakan semasa sambutan termasuklah upacara Yee Sang, persembahan tarian singa dan naga, serta pelbagai persembahan seni tradisional Cina yang lain.

RESOURCES

RESOURCES

RESOURCES