BERITA & ARTIKEL

HRD CORP RAI PENGAMAL SUMBER MANUSIA CEMERLANG NEGARA DI HRD AWARDS 2023

Menobatkan 44 pemenang dalam tiga kategori pada edisi ke-21 ‘Oscar Sumber Manusia’.
KUALA LUMPUR, 31 Oktober 2023 – Para pemenang dari pelbagai kategori dalam Anugerah Pembangunan Sumber Manusia 2023 (HRD Awards 2023) telah diraikan pada Malam Gala yang dianjurkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp), semalam.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof bersama Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Tuan V. Sivakumar. HRD Awards 2023 menampilkan 44 pemenang dari tiga kategori merangkumi perniagaan, individu, jurulatih, dan penyedia latihan. (Sila rujuk Lampiran untuk senarai penuh pemenang.)
Dianjurkan sejak 2001, HRD Awards diwujudkan untuk meraikan kecemerlangan serta inovasi dalam bidang pembangunan sumber manusia dengan mengiktiraf majikan, penyedia latihan, dan jurulatih yang tidak hanya telah menunjukkan kecemerlangan profesional tetapi juga muncul sebagai arkitek proses transformasi dan inovasi modal insan negara.
Memasuki dekad ketiga dalam meraikan kecemerlangan dan inovasi, HRD Awards 2023 telah menerima sambutan luar biasa sejak penamaan calon dikeluarkan pada Ogos 2023. Dengan jumlah permohonan tertinggi sejak bermula lebih dari 20 tahun yang lalu, HRD Awards kali ini menyaksikan saingan yang lebih menarik dan sengit daripada sebelum ini.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah berkata, Malam Gala HRD Awards 2023 ini merupakan satu sambutan yang meraikan kemajuan Malaysia dalam pembangunan dan pemerkasaan tenaga kerja negara, yang dipacu oleh majikan yang luar biasa serta penyedia latihan, jurulatih, dan individu yang cemerlang.
“Saya merasa bangga apabila dapat melihat organisasi tempatan telah bekerja keras dalam mengubah perniagaan dan tenaga kerja mereka demi menyesuaikan diri dengan perubahan yang pesat, memasuki pasaran baru, mencipta produk dan penyelesaian baru, seterusnya mengubah era pasca COVID-19 menjadi peluang kepada sebuah generasi,” ujarnya ketika berucap pada majlis tersebut.
Sebelum ini, Anugerah ini terdiri daripada dua kategori utama; Anugerah Menteri Sumber Manusia dan HRD Corp Awards. Tahun ini, HRD Corp menambah satu kategori baru, iaitu Anugerah Kecemerlangan untuk meraikan kecemerlangan dalam kepelbagaian dan inklusiviti, kemahiran masa depan, pembangunan graduan, teknologi pembelajaran, matlamat pembangunan lestari (SDG), pengurusan bakat dan kepimpinan, inovasi latihan, TVET, Pasukan Sumber Manusia (HR) Tahun Ini dan Anugerah Icon HR yang paling diidamkan oleh individu terkenal dalam sektor awam dan swasta. Tidak ada pihak yang akan pulang dengan tangan kosong, kerana 37 finalis juga menerima Sijil Kecemerlangan sebagai penghargaan atas sumbangan mereka.
Satu Anugerah Istimewa turut diberikan kepada seorang filantropi dan usahawan Qatar yang menghidap sindrom regresi kaudal, Ghanim Al Muftah, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen pemberdayaan serta menjadi sumber inspirasi kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh dunia. Ghanim hadir sebagai sebahagian daripada lawatan beliau ke Malaysia untuk berucap di National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2023.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Tuan V. Sivakumar, yang berkata, anugerah ini merupakan bukti komitmen HRD Corp untuk mengiktiraf serta menggalakkan kecemerlangan di tempat kerja dengan menekankan kepentingan memupuk budaya pembelajaran, pembangunan, dan peningkatan berterusan.
Antara pemenang yang menggondol anugerah dalam beberapa kategori termasuk Maybank, Petronas, Pos Malaysia, Indah Water Consortium (IWK), Revertex Malaysia Sdn Bhd, dan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd.
Para pemenang dalam setiap kategori dinilai oleh 14 panel hakim terkemuka dari senarai panjang peserta, yang mengalami peningkatan sebanyak 200 peratus berbanding dengan edisi sebelumnya.
Mereka dinilai dengan teliti oleh panel yang terdiri daripada pengurusan atasan HRD Corp serta wakil-wakil industri daripada persatuan majikan dan agensi kerajaan. Ini termasuk Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), SME Corporation Malaysia (SME Corp), SIRIM Berhad, Persatuan Teknologi Nasional Malaysia (PIKOM), dan TalentCorp.
Dalam acara yang sama, Malaysia Book of Records (MBOR) juga mengumumkan NHCCE 2023 sebagai Acara Modal Insan terbesar yang pernah diadakan di Malaysia berdasarkan jumlah keseluruhan delegasi dan pameran.

RESOURCES

RESOURCES