BERITA & ARTIKEL

HRD CORP MELULUSKAN BANTUAN KEWANGAN RM2.62 BILION PADA 2025, MEMPERKASA PEMBANGUNAN KEMAHIRAN DI PERINGKAT KEBANGSAAN

KUALA LUMPUR, 13 Januari 2026 – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah meluluskan bantuan kewangan sebanyak RM2.62 bilion bagi aktiviti latihan dan pembangunan kemahiran pada 2025, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 32 peratus berbanding 2024. HRD Corp juga telah meluluskan lebih daripada 2.8 juta tempat latihan, mencerminkan peningkatan positif sebanyak 3 peratus berbanding 2024. Di sebalik statistik ini, terserlah naratif pertumbuhan serta pembangunan yang lebih relevan dan bermakna.

Sektor yang merekodkan jumlah tempat latihan tertinggi adalah sektor pembuatan dengan lebih daripada 795,000 tempat latihan pada 2025. Sektor pembuatan merupakan sektor kedua terbesar dari segi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) dan lazimnya menyumbang antara 23 hingga 25 peratus kepada KDNK Malaysia. Sehingga November 2025, seramai 2.4 juta pekerja telah direkodkan dalam sektor ini merangkumi segmen produk elektrik dan elektronik, produk makanan dan minuman, serta produk petroleum dan kimia. Purata gaji dan upah dalam sektor pembuatan mencatatkan peningkatan sebanyak 1.1 peratus tahun ke tahun setakat November 2025.

Sektor ekonomi penting lain yang memacu ekonomi digital Malaysia adalah sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Pada 2024, ekonomi digital menyumbang 23.4 peratus kepada KDNK dan dijangka menyumbang 25 peratus pada tahun 2025. Jumlah bantuan kewangan yang diluluskan oleh HRD Corp di bawah IR4.0 berjumlah RM130 juta. Lebih 103,000 tempat latihan telah direkodkan merangkumi keseluruhan sektor ekonomi digital dan ICT.

Ini jelas menunjukkan bahawa pembangunan kemahiran semakin menjadi faktor penting dalam memperkukuh daya tahan tenaga kerja dan meningkatkan daya saing perniagaan. Ketika industri berdepan perubahan teknologi yang pantas, persaingan yang semakin sengit untuk tenaga kerja berkemahiran serta keperluan pekerjaan yang semakin kompleks, HRD Corp memberi tumpuan kepada penyampaian hasil yang praktikal kepada majikan, mudah diakses oleh komuniti dan sejajar dengan hala tuju masa depan pembangunan tenaga kerja di Malaysia serta rantau ASEAN.

Di samping keutamaan latihan yang dipacu oleh majikan, HRD Corp turut memberi penekanan yang kukuh terhadap akses inklusif kepada pembangunan kemahiran melalui inisiatif bersasar. Seramai 18,137 rakyat Malaysia telah mendapat manfaat dari inisiatif pembangunan kemahiran menerusi gabungan geran kerajaan dan dana dalaman HRD Corp.

Antara inisiatif tersebut adalah Inisiatif Kemahiran Masyarakat India Malaysia (MISI), yang memberi tumpuan kepada peluasan akses latihan dan peningkatan kebolehpasaran komuniti India. Sepanjang 2025, seramai 1,108 peserta telah menerima latihan di bawah inisiatif ini, dengan tambahan 442 peserta lagi dijangka akan dilatih. Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan HRD Corp dalam memperkukuh pembangunan modal insan yang inklusif dan seimbang.

Selain MISI, Inisiatif Profesional Advancement in Trucking and Haulage (PATH) merupakan satu lagi inisiatif kerjasama antara HRD Corp, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Pengangkutan (MoT), yang menyasarkan 1,000 peserta di seluruh negara dengan objektif untuk memperkukuh tenaga kerja pengangkutan lori dan pengangkutan berat.

PATH memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran pekerja sedia ada serta pembangunan bakat baharu melalui latihan berstruktur yang merangkumi pensijilan pemanduan Kelas E dan Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL), termasuk E Kejur dan E Bersendi, serta kemahiran pemanduan defensif. Pada 2025, seramai 156 peserta telah berjaya dilatih di bawah inisiatif ini, menyokong peningkatan kebolehpasaran dan peluang pendapatan dalam sektor pengangkutan dan logistik.

Selain itu, HRD Corp turut menjalin kerjasama dengan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) bagi melaksanakan program latihan berasaskan kecekapan dan pensijilan yang sejajar dengan keperluan semasa pasaran pekerjaan. Pada 2025, seramai 427 peserta telah berjaya menamatkan latihan di bawah inisiatif ini, dengan sokongan majikan yang menyediakan peluang penempatan pekerjaan.

Dalam usaha memperkukuh kepelbagaian dan keterangkuman dalam ekosistem latihan negara, HRD Corp meneruskan pelaksanaan Inisiatif Transformasi Pasaran Latihan (Training Market Transformation, TMT). Pada 2025, sebanyak lapan sesi Latihan Jurulatih (Train-the-Trainer) telah dilaksanakan, memberi manfaat kepada 134 orang kurang upaya (OKU). Inisiatif ini mengukuhkan peranan pendekatan latihan inklusif dalam membina tenaga kerja yang lebih berdaya tahan dan saksama.

HRD Corp juga terus memperluas impak pembangunan kemahiran di peringkat komuniti melalui peningkatan kemahiran, keusahawanan dan intervensi berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Sepanjang 2025, seramai 9,929 peserta telah menerima latihan melalui Pusat Latihan Pembangunan Kemahiran (PLPK), manakala 4,210 orang dari komuniti tempatan telah mendapat manfaat program-program kesedaran awam serta sokongan khidmat nasihat. PLPK turut bekerjasama dengan 39 rakan strategik, sekali gus menonjolkan keberkesanan model penyampaian berasaskan komuniti dalam memperluaskan akses pembangunan kemahiran melangkaui kawasan bandar utama.

Bersempena dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, HRD Corp dengan sokongan KESUMA telah menerajui kepimpinan serantau dalam pembangunan modal insan menerusi ASEAN Year of Skills (AYOS 2025). Inisiatif ini merangkumi tujuh platform utama yang dirangka secara kolaboratif bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). AYOS 2025 mencapai kemuncaknya menerusi penganjuran Global Skills Forum 2025 (GSF 2025) dan ASEAN Forum of Manpower

Ministers for Human Capital Development (AFMM-HCD), yang telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, serta Ketua Pengarah ILO, Tuan Yang Terutama Encik Gilbert F. Houngbo.

Salah satu acara utama HRD Corp, Minggu Latihan Kebangsaan (NTW), yang diperkenalkan pada 2022, telah memasuki edisi ketiga pada 2025 dengan capaian dan penyertaan yang diperluaskan. Dianjurkan bersempena AYOS, NTW 2025 buat pertama kalinya membuka penyertaan melangkaui sempadan Malaysia, sekali gus mengukuhkan kerjasama serantau dan memperluas akses kepada peluang pembelajaran. Dengan jumlah keseluruhan 3,742,300 pendaftaran berbanding 375,817 pada 2024, NTW 2025 mencerminkan peningkatan ketara dalam penyertaan awam dan industri.

Dari sudut tadbir urus kewangan, HRD Corp mengamalkan pendekatan pelaburan berdisiplin dan berasaskan risiko pada 2025 bagi melindungi dana penyumbang levi sambil memastikan pulangan jangka panjang yang mampan. Berpandukan tadbir urus yang kukuh, peruntukan aset yang berhemat dan pengurusan risiko yang aktif, strategi pelaburan diselaraskan bagi mengimbangi pemeliharaan dana levi dan modal dengan pertumbuhan mampan dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pendekatan ini telah menyumbang kepada peningkatan aset di bawah pengurusan sebanyak 3 peratus kepada RM4.16 bilion. Portfolio pelaburan menjana pulangan sebanyak RM215 juta, bersamaan pulangan atas pelaburan (ROI) sebanyak 5.35 peratus, sekali gus menegaskan komitmen HRD Corp terhadap pengurusan kewangan yang berintegriti dan berhemah.

Seiring cabaran tenaga kerja yang semakin kompleks, HRD Corp kekal fokus untuk memperluas akses, memperkukuh kualiti dan menyampaikan hasil pembangunan kemahiran yang menyokong kesiapsiagaan tenaga kerja dan pertumbuhan inklusif, di samping menyumbang kepada keutamaan modal insan Malaysia serta kerjasama serantau ASEAN.

Berlandaskan momentum pencapaian 2025, HRD Corp akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif pembangunan kemahiran pada 2026, dengan fokus terhadap peningkatan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemerkasaan tenaga kerja Malaysia ke arah tahap kemahiran yang lebih tinggi.

RESOURCES

RESOURCES