BERITA & ARTIKEL

HRD CORP LANTIK DATO’ MOHAMED SHAMIR BIN ABDUL AZIZ SEBAGAI KETUA EKSEKUTIF BAHARU

Dato' Shamir Aziz.jpg

KUALA LUMPUR, 23 Januari 2026 – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) mengumumkan pelantikan Dato’ Mohamed Shamir bin Abdul Aziz sebagai Ketua Eksekutifnya, berkuat kuasa hari ini.

Dato’ Mohamed Shamir memiliki pengalaman kepimpinan yang luas merentasi pelbagai sektor, dengan rekod prestasi cemerlang dalam pengurusan organisasi, pelaksanaan strategi dan pembangunan institusi, termasuk pengalaman dalam pengurusan institusi mikro kredit bagi menyokong pembangunan sosioekonomi.

Sebelum pelantikannya, Dato’ Mohamed Shamir berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), yang merupakan sebuah institusi kewangan mikro nasional. Dalam peranan tersebut, beliau bertanggungjawab menyelia inisiatif strategik bagi meningkatkan prestasi institusi, memperkukuh rangka kerja operasi serta memajukan pembangunan sosioekonomi yang inklusif.

Sepanjang tempoh lapan tahun di bawah kepimpinan Dato’ Mohamed Shamir Aziz, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah mengekalkan kadar bayaran balik yang cemerlang iaitu 99.98 peratus, serta mencapai kadar bayaran balik penuh 100 peratus pada tahun 2025.

Selain itu, pengiktirafan AIM sebagai Pemenang Kepimpinan Pasaran (Pembiayaan Mikro) pada Anugerah Kewangan Islam Global 2025 (Global Islamic Finance Awards, GIFA) merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan institusi tersebut dan mencerminkan kemajuan berterusan serta kecemerlangan AIM dalam sektor pembiayaan mikro di bawah kepimpinan beliau.

Dato’ Mohamed Shamir memiliki Ijazah Sarjana Perancangan Bandar dan Wilayah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sekali gus membekalkan asas yang kukuh dalam perancangan dasar, pembangunan mampan serta penyelarasan merentas sektor.

Pelantikan beliau adalah selari dengan usaha HRD Corp untuk terus memperkukuh mandatnya dalam memacu pembangunan kemahiran, latihan tenaga kerja dan kelestarian modal insan, sejajar dengan keutamaan nasional serta keperluan majikan dan tenaga kerja yang sentiasa berkembang.

RESOURCES

RESOURCES