BERITA & ARTIKEL

HRD CORP LANCAR SIRI JELAJAH ‘POCKET TALK’ BAGI MEMBAWA DASAR DAN PELUANG PEMBANGUNAN MODAL INSAN TERUS KEPADA RAKYAT

JOHOR BAHRU, 20 Jun 2026 – Human Resource Development Corporation (HRD Corp), melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), membawakan Siri Jelajah ‘Pocket Talk’ HRD Corp – Dari Dasar ke Rakyat di Kempas, Johor. Ia merupakan platform yang bertujuan untuk menerangkan tentang pelbagai inisiatif pembangunan modal insan terus kepada masyarakat. 

Disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, program ini merupakan platform yang bertujuan memastikan rakyat mendapat akses yang lebih mudah kepada maklumat berkaitan peningkatan kemahiran dan peluang menjana ekonomi yang dapat membantu meningkatkan taraf hidup mereka. 

Siri jelajah ini menghimpunkan pelbagai sesi perkongsian yang merangkumi pengenalan kepada produk dan perkhidmatan HRD Corp, pembangunan kepimpinan, pemerkasaan individu serta persediaan untuk mendepani cabaran pekerjaan masa hadapan melalui pembelajaran dan peningkatan kemahiran. 

Pemilihan Johor sebagai lokasi permulaan siri jelajah ini bertepatan dengan kedudukannya sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. Dengan pelbagai pelaburan strategik yang sedang berkembang, termasuk menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pembangunan modal insan menjadi elemen penting dalam memastikan rakyat tempatan bersedia merebut peluang ekonomi dan pekerjaan yang diwujudkan. 

Sejajar dengan aspirasi tersebut, HRD Corp turut memperkukuh pembangunan bakat di negeri ini menerusi inisiatif Skills4Johor yang dilancarkan bersama Unit Modal Insan Strategik Johor pada tahun 2025. Dengan peruntukan sebanyak RM20 juta, inisiatif ini memberi tumpuan kepada usaha peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja bagi memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan. 

Komitmen tersebut diterjemahkan melalui impak yang ketara di Johor apabila seramai 13,425 majikan telah berdaftar di bawah ekosistem HRD Corp, melibatkan 479,905 pekerja yang menerima manfaat secara langsung. 

Pada tahun 2025, HRD Corp turut merekodkan kutipan levi sebanyak RM208.21 juta, dengan RM183.96 juta disalurkan semula kepada majikan melalui tuntutan latihan. Selain itu, bantuan kewangan berjumlah RM191.50 juta telah disalurkan, sekali gus membolehkan 232,072 rakyat di Negeri Johor telah dilatih. 

Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen HRD Corp untuk memastikan dasar dan inisiatif kerajaan tidak hanya kekal di peringkat perancangan, sebaliknya disampaikan terus kepada rakyat di peringkat akar umbi agar manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat. 

YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan dalam ucapannya berkata, “Ukuran sebenar kejayaan sesuatu dasar bukanlah pada jumlah dasar yang diumumkan, tetapi sejauh mana rakyat mengetahui, memahami dan mendapat manfaat daripadanya.” 

“Melalui Siri Jelajah ‘Pocket Talk’ ini, kita mahu memastikan setiap peluang yang disediakan kerajaan sampai terus kepada rakyat. Apabila rakyat mengetahui dan memahami peluang yang tersedia, mereka akan lebih bersedia untuk meningkatkan kemahiran, memperkukuh daya saing dan membina masa depan yang lebih baik untuk diri serta keluarga mereka,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dato’ Shamir Aziz berkata program tersebut mencerminkan komitmen berterusan HRD Corp dalam memastikan maklumat mengenai pembangunan modal insan dapat diakses oleh segenap lapisan masyarakat. 

“Kami percaya bahawa dasar yang baik perlu sampai kepada rakyat. Justeru, Siri Jelajah ‘Pocket Talk’ ini diwujudkan bagi memastikan maklumat mengenai latihan, kemahiran dan peluang yang disediakan kerajaan dapat diakses oleh semua, termasuk pekerja, belia, pencari kerja dan usahawan kecil yang ingin meningkatkan taraf hidup melalui ilmu dan kemahiran.” 

Siri jelajah yang bermula di Johor ini dijangka menjadi platform berterusan untuk mendekati masyarakat di seluruh negara serta memperkukuh pemahaman rakyat terhadap pelbagai inisiatif pembangunan modal insan yang ditawarkan oleh kerajaan. 

HRD Corp akan meneruskan Siri Jelajah ‘Pocket Talk’ ke beberapa lokasi lain di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha memperluas kesedaran mengenai kepentingan pembelajaran sepanjang hayat, peningkatan kemahiran dan pembangunan tenaga kerja yang mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. 

RESOURCES

RESOURCES