News & Articles

HRD CORP LAUNCHES SCOPE

Second Chances & Opportunities for People to Excel (SCOPE) menyediakan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada bekas banduan

Kuala Lumpur, 17 November 2021 – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah melancarkan inisiatif baru mereka, Second Chances & Opportunities for People to Excel (SCOPE), hari ini.

SCOPE dilaksanakan untuk membantu bekas banduan dengan menyediakan latihan pembangunan kemahiran serta peluang menjana pendapatan dan pekerjaan. Ini bertujuan membantu peserta bersedia dan seterusnya berjaya kembali semula ke dalam tenaga kerja negara serta ke pangkuan masyarakat.

Pada fasa pertama inisiatif ini, HRD Corp akan bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dan rakan strategik lain untuk menyediakan program latihan dan pembangunan kemahiran kepada 1,000 banduan dalam pelbagai sektor, antaranya pertanian, perkilangan, pembinaan, pengangkutan, perladangan, perkhidmatan serta perlombongan dan perkuarian.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, sehingga 2019 seramai lebih 140,000 individu menjalani hukuman di dalam penjara dan kerajaan telah membelanjakan lebih RM1.6 bilion setahun hanya untuk pengurusan penjara.

“Adalah menjadi harapan saya, dengan menyediakan bekas banduan ini dengan latihan pembangunan kemahiran serta peluang pekerjaan, SCOPE akan dapat membantu dalam menurunkan bilangan pengulangan jenayah lampau, sekali gus mengurangkan populasi penjara.

“Selain itu, saya yakin SCOPE juga berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing serta dapat menurunkan kadar pengangguran negara. Ini penting memandangkan kita sedang dalam usaha untuk menjadi sebuah negara maju dan membina masyarakat yang inklusif,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Dalam majlis itu, seramai 50 peserta yang mewakili sebahagian daripada 1,000 pelatih Fasa 1 menerima surat tawaran pekerjaan daripada 20 majikan. Peserta ini akan memulakan pekerjaan baharu mereka dalam beberapa minggu akan datang.

Sementara itu, Datuk Shahul Dawood berkata, di HRD Corp, mereka percaya latihan serta pembangunan kemahiran tidak sepatutnya terhad hanya kepada sesetengah kelompok sahaja.

“Oleh itu, misi kami adalah untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan. SCOPE membolehkan HRD Corp mengetengahkan bakat dan potensi bekas banduan ini apabila mereka menyertai semula masyarakat. Kami berharap ini dapat membantu mereka menyumbang kepada komuniti, dalam jangka masa panjang,” ujarnya.

Projek rintis bagi program tersebut akan dilaksanakan sehingga akhir November 2021. Fasa Kedua program ini akan menyediakan peluang latihan dan penempatan kepada 5,000 banduan pada tahun 2022, manakala Fasa Ketiga bakal membantu seramai 15,000 banduan dan dijangka bermula pada tahun 2023.

Pada majlis tersebut, HRD Corp turut menyampaikan token serta sijil penghargaan kepada majikan serta penyedia latihan yang terlibat. Untuk maklumat lebih lanjut berhubung SCOPE sila layari www.hrdcorp.gov.my/SCOPE.

RESOURCES

RESOURCES