Malam penuh inspirasi mengiktiraf Majikan, Penyedia Latihan dan Jurulatih cemerlang yang membentuk masa depan tenaga kerja negara
KUALA LUMPUR, 26 November 2025 – Majlis Malam Gala HRD Awards 2025 yang dianjurkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berlangsung di Pusat Dagangan & Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), telah menghimpunkan majikan paling berwawasan, penyedia latihan yang inovatif serta jurulatih yang cemerlang di Malaysia dalam satu acara gilang-gemilang yang meraikan kecemerlangan pembangunan modal insan.
Berteraskan dengan tema ‘An Evening of Elegance’, acara berprestij ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KESUMA, yang hadir bagi meraikan para peneraju pembangunan tenaga kerja masa hadapan negara.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2001, HRD Awards terus menjadi platform pengiktirafan paling berprestij di Malaysia bagi menghargai sumbangan cemerlang dalam ekosistem pembangunan sumber manusia. Edisi tahun ini meneruskan legasi tersebut dengan mencatat satu lagi pencapaian baharu dari segi penyertaan, serta mempamerkan landskap pembelajaran dan pembangunan negara yang terbaik.
HRD Awards 2025, yang memasuki edisi ke-23, telah menerima 770 penyertaan daripada majikan, penyedia latihan dan jurulatih, yang merupakan jumlah penyertaan tertinggi dalam sejarah penganjurannya. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 277 penyertaan berbanding 493 yang diterima pada tahun lalu.
Pencapaian ini mencerminkan pengiktirafan yang semakin meingkat terhadap HRD Awards sebagai penanda aras nasional bagi kecemerlangan dalam komuniti pembangunan modal insan Malaysia.
Datuk Azman dalam ucapannya menekankan bahawa penyertaan luar biasa ini mempamerkan kesedaran yang semakin meningkat bahawa modal insan Adalah asas kepada Pembangunan negara yang mampan dan inklusif.
“Tidak kiralah sejauh mana majunya teknologi atau infrastruktur yang kita punyai, akhirnya, Kemahiran, kreativiti dan daya tahan rakyat kita jugalah yang akan menentukan hala tuju masa depan negara ini”, tegas Datuk Azman dalam ucapannya.
Sementara itu, Dr. Syed Alwi dalam ucapannya menyatakan bahawa setiap tahun, HRD Awards mengiktiraf majikan, penyedia latihan dan individu cemerlang yang telah melangkaui jangkaan dalam membangunkan bakat, mempromosi inovasi serta meningkatkan standard pembangunan tenaga kerja di seluruh Malaysia.
“Perjalanan ini membolehkan rakyat Malaysia dari setiap pelosok negara mendapat akses kepada peluang pembelajaran yang bermakna, bagi mempersiapkan mereka menghadapi cabaran, menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dan merebut peluang baharu dalam landskap yang sentiasa berubah,” katanya.
Sebanyak 40 anugerah berprestij telah disampaikan merangkumi tujuh (7) kategori:
Para pemenang (rujuk lampiran) telah dipilih melalui proses penilaian pelbagai peringkat yang teliti, bagi memastikan ketelusan, integriti dan kredibiliti. Panel penilai terdiri daripada pakar industri terkemuka serta ahli Jawatankuasa Pengurusan Kanan HRD Corp, bersama wakil badan utama negara termasuk Malaysian Employers Federation (MEF), SME Corporation Malaysia (SME Corp), Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Malaysia Productivity Corporation (MPC).
Majlis turut dihadiri Tuan Sutekno bin Ahmad Belon, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA serta Dr. Syed Alwi bin Mohamed Sultan, Ketua Eksekutif HRD Corp.
HRD Awards 2025 mengukuhkan komitmen Malaysia dalam melahirkan bakat bertaraf dunia dan memperkukuh agenda pembangunan modal insan negara, selaras dengan aspirasi membina tenaga kerja yang berkemahiran, progresif dan bersedia untuk masa hadapan. Untuk senarai penuh pemenang dan maklumat lanjut mengenai HRD Awards 2025, sila layari hrdcorp.gov.my/hrd-awards-2025.