BERITA & ARTIKEL

HRD CORP LANCAR NHCCE 2022, UMUM JALIN KERJASAMA BERSAMA LINKEDIN

KUALA LUMPUR, 29 November — Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melancarkan National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2022 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini. persidangan tersebut dilancarkan oleh Datuk Seri Jamil Salleh, Pengerusi HRD Corp.

Acara yang sebelum ini dikenali sebagai HRDF Conference & Exhibition, kembali semula selepas ‘berehat’ selama dua tahun dengan nama baharu, sejajar dengan peranan dan keutamaan HRD Corp yang telah diperluas.

Lebih 2,300 delegasi akan menghadiri enam trek sesi perbincangan yang dikendalikan oleh 30 penceramah tempatan dan antarabangsa yang terkemuka antaranya Aireen Omar, Presiden Capital A (Ventures), yang dahulunya dikenali sebagai Kumpulan AirAsia; Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia; Rachele Focardi, Pengasas XYZ@Work, Singapura dan Neeti Mahajan, Ketua Pegawai Pentadbiran Kumpulan Global di HSBC.

Acara itu juga akan menampilkan lebih 200 pempamer daripada pelbagai industri dan dijangka akan menarik sehingga 5,000 pengunjung.

Bertemakan HR 5.0: The Next Evolution in Human Resource Development (Evolusi dalam Pembangunan Sumber Manusia), NHCEE 2022 menyasarkan untuk memperkasakan pemimpin dan pengamal Sumber Manusia untuk mengambil pendekatan baharu terhadap peranan masing-masing yang memerlukan mereka menerima teknologi dan proses baharu, membina kemahiran dan kecekapan kritikal, serta memastikan kesihatan dan kesejahteraan pekerja.

Sebagai penjaga utama usaha pembangunan bakat Malaysia, HRD Corp komited untuk mempelopori agenda HR 5.0 demi mengukuhkan modal insan Malaysia dan mempercepatkan pertumbuhan serta produktiviti negara.

Semasa majlis pelancaran itu, HRD Corp turut mengadakan pertukaran Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama LinkedIn.

Kerjasama ini bertujuan untuk mempercepatkan langkah Malaysia ke arah ekonomi berasaskan kemahiran dengan membantu pekerja mereka meningkatkan kemahiran dan melatih semula dalam talian. Kursus LinkedIn Learning akan disediakan di platform e-LATiH HRD Corp pada kadar yang lebih rendah untuk majikan berdaftar HRD Corp.

LinkedIn juga akan bekerjasama dengan HRD Corp untuk menggalakkan penggunaan levi yang lebih besar dalam kalangan majikan berdaftarnya dengan menyediakan data dan pandangan dalam satu siri bengkel kemahiran yang dianjurkan bersama di seluruh negara. Melalui bengkel ini, majikan akan mendapat pencerahan tentang masa depan pekerjaan, trend penempatan pekerjaan dan keperluan kemahiran semasa mengikut industri.

Selain itu, LinkedIn juga akan menawarkan pandangan berkala tentang pengambilan pekerja dan trend pekerjaan di Malaysia, termasuk analisis jurang kemahiran kepada HRD Corp. Ini akan menyokong pihak HRD Corp dalam membentuk program pembangunan bakatnya.

Petikan Sokongan

“HRD Corp komited dalam menyokong pertumbuhan dan pemulihan ekonomi Malaysia dengan mengurangkan pengangguran di samping mengukuhkan kumpulan bakat kami. Ini terbukti dengan penurunan kadar pengangguran yang kini berada pada 3.7%. Kami akan terus menerajui pembangunan modal insan dengan mempertingkatkan peluang peningkatan kemahiran dan kemahiran semula dalam talian menerusi kerjasama bersama LinkedIn, sebuah platform rangkaian dan pembelajaran professional global. Saya percaya dengan usaha sedemikian kita akan berjaya memenuhi jangkaan tenaga kerja generasi akan datang sekali gus memperkukuhkan ekonomi kita pada masa hadapan sekiranya terjadi krisis yang tidak terjangka.”

Datuk Seri Jamil Salleh, Pengerusi HRD Corp.

“Kami berbangga kerana dapat mengembalikan persidangan dan pameran utama tahunan kami kepada pemain industri di rantau ini. Kali ini dengan tumpuan yang lebih untuk memperkukuh modal insan Malaysia dengan menerima HR 5.0, yang berasaskan wawasan, teknologi dan peluang pembelajaran sepanjang hayat. Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan pemain industri terkemuka seperti LinkedIn untuk mengembangkan peluang pembelajaran dalam talian buat bakat Malaysia untuk jangka panjang.”

Datuk Shahul Dawood, Ketua Eksekutif HRD Corp

“Dalam era perubahan yang pesat ini, adalah kritikal bagi syarikat untuk menyediakan dan meningkatkan peluang pembelajaran dan pembangunan kepada tenaga kerja mereka untuk mengukuhkan perniagaan mereka pada masa hadapan. Di peringkat global, kita sedang menuju ke arah ekonomi berasaskan kemahiran dan ini akan menonjolkan kepelbagaian kemahiran yang diperlukan untuk masa depan pekerjaan. Di Malaysia, penyelidikan LinkedIn menunjukkan bahawa kemahiran yang terbaik untuk pekerjaan tertentu telah menunjukkan perubahan secara purata sebanyak 27 peratus sejak 2015, kadar perubahan tersebut semakin pantas ketika dunia dilanda pandemic. Pada kadar ini, kemahiran boleh berubah sehingga 50 peratus (43 peratus – 47 peratus) menjelang 2025. Antara 2021 dan 2025, kita mungkin akan menyaksikan kewujudan tiga kemahiran baharu dalam sesuatu pekerjaan.

“Kami komited untuk bersama HRD Corp dan menyokong negara dan perniagaannya untuk menangani sebarang jurang kemahiran dan cabaran tenaga kerja, supaya mereka boleh membangun, menarik dan mengekalkan bakat terbaik. Komitmen kami adalah untuk memperkasakan setiap perniagaan dan bakat Malaysia menerusi medium serta keupayaan yang sesuai di samping menjadi rakan kongsi yang bernilai dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berdaya tahan.”

Rohit Kalsy, Ketua Pasaran Baru Muncul (Emerging Market), Asia Tenggara dan Pengurus LinkedIn Malaysia

RESOURCES

RESOURCES

RESOURCES