BERITA & ARTIKEL

HRD CORP LANCAR INISIATIF PENCEGAHAN RASUAH

KUALA LUMPUR, 7 Februari 2023 — Yang Berhormat Tuan V. Sivakumar, Menteri Sumber Manusia, melancarkan Inisiatif Pencegahan Rasuah Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di Kementerian Sumber Manusia, di sini hari ini

Majlis pelancaran tersebut turut disaksikan oleh Jamaluddin Bin Puteh, Timbalan Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Usaha pencegahan rasuah berkenaan dilaksanakan menerusi pengenalan tiga dokumen teras; Perakuan Integriti untuk lembaga pengarah HRD Corp, kepimpinan kanan, pekerja, rakan kongsi serta pembekal barangan dan perkhidmatan pihak ketiga; HRD Corp Governance Report (2017-2022); dan Organisational Anti-Corruption Plan (OACP PSMB) 2021-2025, selaras dengan Pelan Pencegahan Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

Yang Berhormat Tuan V. Sivakumar ketika berucap berkata, beliau berbesar hati dengan Langkah yang diambil HRD Corp dalam memperkukuh pelaksanaan inisiatif pencegahan rasuahnya selaras dengan arahan Perdana Menteri ke-7, Arahan Siri 1 No. 1 Tahun 2018, berkaitan Peningkatan Tadbir Urus, Integriti dan Pencegahan Rasuah dalam Pentadbiran Pengurusan Malaysia.

“Arahan tersebut termasuklah keperluan untuk menubuhkan unit integriti dan tadbir urus dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat milik kementerian dan agensi kerajaan. Integriti seharusnya menjadi nilai teras bagi setiap penjawat awam. Tanggungjawab kita adalah kepada rakyat yang kini lebih arif menilai di samping mengharapkan perkhidmatan yang lebih baik dari kita.

“Oleh itu, kita mestilah mendengar kebimbangan mereka serta memberikan perkhidmatan dengan standard tertinggi. Ini akan melegakan semua rakyat Malaysia sekali gus mewujudkan dan mengekalkan persepsi positif terhadap institusi kita,” katanya.

Menekankan bahawa membanteras rasuah adalah keutamaan kerajaan, Yang Berhormat Menteri turut menyatakan Malaysia kini berada di kedudukan 61 dari kalangan 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) terkini, meningkat satu tempat berbanding tahun lepas. Penambahbaikan ini memberangsangkan kerana ia menunjukkan bahawa Malaysia telah meletakkan langkah-langkah yang tepat dalam usaha berterusan untuk memerangi rasuah. Usaha oleh agensi kerajaan, seperti yang dilakukan HRD Corp telah banyak menyumbang kepada matlamat ini.

Hadir sama, Yang Berhormat Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Encik A. Maniam, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Antarabangsa) dan Datuk Shahul Dawood, Ketua Eksekutif HRD Corp.

Sejak penubuhannya, HRD Corp sentiasa komited untuk memacu etika dan ketelusan dalam organisasi. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, HRD Corp telah mempertingkatkan usahanya dengan penubuhan Unit Integriti pada Mac 2020. Sejak itu ia telah berkembang menjadi Bahagian Risiko, Integriti dan Governans, dengan kekuatan kakitangan seramai 13 orang, bertanggungjawab untuk memastikan dan mempromosikan budaya tadbir urus yang baik dalam HRD Corp.

Sementara itu, Ketua Pegawai Risiko, Integriti dan Governans, Puan Siti Fatimah Abdullah berkata, Inisiatif Pencegahan Rasuah HRD tersebut bertujuan untuk mengukuhkan kepercayaan pihak berkepentingan serta memastikan organisasi diurus dengan penuh tanggungjawab dan telus.

“Ini penting memandangkan kami merupakan organisasi yang telah diberikan kepercayaan sebagai pengurus levi yang dibayar majikan untuk mengurusnya secara adil dan beretika.

Kami yakin dengan usaha yang telah kami lakukan, kami akan terus menetapkan standard etika dan integriti tertinggi yang boleh dicontohi oleh para rakan kongsi kami,” katanya dalam ucapan aluan pada majlis tersebut.

RESOURCES

RESOURCES

RESOURCES